Alha sumbang RM20,000 tampung kos rawatan anak Amyza

MENGOTAKAN janji, jurusolek dan ahli perniagaan, Datuk Alha Alfa menyerahkan sumbangan  sebanyak RM20,000 kepada anak kedua pelakon Amyza Aznan yang menghidap kanser tulang.

Alha atau nama sebenarnya, Abdul Al Halim Mohd. Al Fadzil, 38, berkata jumlah dikumpulkan daripada hasil pembelian produk kosmetiknya itu adalah bagi menampung kos rawatan remaja terbabit di sebuah pusat perubatan di Petaling Jaya, Selangor.

“Salam semua pengguna yang sokong pembelian set untuk kita bantu kos rawatan anak kedua kak Amyza iaitu Adrian Adam, saya dah pun sampaikan amanah ini.

“Semoga dipermudahkan urusan kak Amyza dan anak-anak, kami sentiasa doakan,” tulisnya dalam hantaran di Threads.

Perkongsian berkenaan memaparkan Alha bersama pasukannya menyantuni Amyza serta puteranya, Adrian Adam,18, bagi menyerahkan sumbangan.

Usahawan popular itu tidak ketinggalan mendoakan agar Adrian diberikan kesihatan yang baik selain segera sembuh.

“Semoga lan (panggilan Adrian) sihat sediakala. Mari kita doakan kesembuhan untuk lan, amin,” tulisnya.

Sebelum ini Alha melancarkan set produk khas bagi membantu Adrian yang disahkan menghidap kanser tulang.

Lelaki terbabit lebih dulu mendapatkan keizinan Amyza sebelum melaksanakan inisiatif tersebut menerusi siaran langsung di TikTok miliknya.

Terdahulu, Amyza mendedahkan Adrian disahkan menghidap kanser tulang selang setahun anak sulungnya didiagnos kanser paru-paru.

Allahyarham Andre Mikhail menghembuskan nafas terakhir di Hospital Kuala Lumpur pada 24 Februari lalu. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok