DIKECAM susulan penampilan mencolok mata ketika menghadiri majlis ‘gender reveal’, penyanyi Thalita Zahra menjadikan insiden itu sebagai satu pengajaran dalam hidupnya.
Thalita atau nama sebenarnya Dzahira Talita Zahra Shahmira, 13, mengakui agak takut untuk mengulas lanjut, namun menerima segala teguran dengan hati terbuka.
“Untuk isu tersebut sebenarnya saya takut mahu ulas kerana risau tersalah cakap. Namun saya ambil sebagai iktibar dan berterima kasih kepada semua yang menegur.
Saya masih remaja dan sedang belajar untuk menjadi lebih baik. Insya-Allah doakan saya supaya dapat berpakaian lebih sopan dan bertudung suatu hari nanti,” katanya kepada HibGlam.
Sementara itu, bapanya yang juga pelawak terkenal, Shuib Sepahtu menegaskan perkara tersebut tidak akan berulang lagi kerana sebagai bapa, dia amat menitikberatkan penampilan anaknya.
Saya ingat isu ini sudah selesai, Insya-Allah perkara sebegitu tidak akan berulang. Sebagai ayah, sudah tentu saya sangat ambil berat. Pada hari kejadian pun saya sudah tegur.
“Mungkin orang nampak saya jenis lembut, tetapi tindakan selepas itu tegas,” katanya di belakang pentas Gempak Most Wanted Awards, malam tadi.
Enggan lepas tangan, ibu tirinya, Watie Hanifiah mengakui bertanggungjawab menguruskan busana Thalita pada hari tersebut dan mengambil iktibar atas kekhilafan itu.
Daddy tegur sebaik tiba di lokasi kerana terkejut melihat pakaian itu. Teguran dibuat secara lembut kerana kami berada di acara dan tidak mahu mencetuskan suasana kurang selesa.
“Apabila pulang ke rumah, Shuib menyatakan dia tidak mahu Thalita memakai rekaan seperti itu lagi.
“Ketika berdua dengan Thalita, saya sampaikan teguran daddy tentang pakaiannya. Kami semua mengambil iktibar daripada kejadian tersebut,” jelasnya.
Terdahulu, pada 1 Februari lalu, Thalita tampil anggun dalam gaun labuh rona merah jambu berpotongan ‘off-shoulder’ ketika menghadiri majlis ‘gender reveal’.
Namun penampilan tersebut mengundang kecaman ramai, khususnya terhadap ibu bapanya, apabila netizen berpendapat penampilan sedemikian kurang sesuai bagi seorang remaja. – HIBGLAM
