‘Bukan bergaduh sebab duit, cuma salah cakap sahaja’

USAHAWAN selebriti Cheta Pot Pet menafikan dakwaan kononnya bersama muka dengan penyanyi Ifa Raziah, sebaliknya menegaskan hubungan mereka sekadar melalui fasa dingin akibat salah faham kecil.

Ujar Cheta atau nama sebenarnya Rozita Baharom, 39, dia sudah berusaha memperbaiki keadaan, namun memilih untuk memberi ruang kerana menghormati perasaan pihak satu lagi.

“Sebenarnya kami tak bermasam muka. Cuma mungkin ada salah faham kecil dan cara kami menangani sesuatu perkara itu berbeza.

“Saya dah cuba berbaik, tapi mungkin belum masanya. Kak Ifa jenis mudah terasa, jadi saya rasa lebih baik beri dia ruang dahulu. Tak mengapa, saya boleh tunggu,” katanya kepada HibGlam.

Tambah usahawan kosmetik itu, isu tersebut tidak pernah dianggap serius kerana mereka tidak pernah bertelagah besar sepanjang berkawan.

“Saya tak pernah anggap perkara ini besar. Kami tak pernah bergaduh teruk.

“Cuma mungkin masing-masing ada ego dan perlukan masa untuk bertenang. Saya dah hulurkan tangan, tapi belum disambut,” ujarnya pada sidang media Let’s Raya Gegak Gempita Raya 2026, baru-baru ini.

Mengulas perasaan sebenar, Cheta tidak menafikan dirinya dihimpit perasaan sedih memandangkan hubungan mereka selama ini sangat rapat, malah sudah dianggap seperti keluarga sendiri.

“Memang tiba-tiba rasa sebak bila bercakap tentang perkara ini. Saya sudah anggap dia seperti kakak.

“Namun saya sedar diri ini bukan sesiapa untuk paksa dia menerima keadaan. Kalau dia belum bersedia, saya hormat,” jelasnya.

Paling penting katanya, punca sebenar bukan melibatkan soal wang atau perkara besar, sebaliknya hanya kesilapan percakapan.

“Kami bukan bergaduh sebab duit. Cuma salah faham akibat tersalah cakap sahaja.

“Kalau kak Ifa tak mahu maafkan saya, saya tak boleh paksa. Memang rindu sebab kami rapat, tapi saya tak nak desak keadaan,” tuturnya.

Sebelum ini, peminat kedua-dua figura berkenaan dalam media sosial meluahkan kehairanan apabila hubungan mereka dilihat tidak lagi semesra dahulu, sekali gus mencetuskan spekulasi kononnya berlaku perselisihan serius.

Dalam perkembangan lain, Cheta bakal membuka gerai perniagaan sempena festival Let’s Raya Gegak Gempita Raya 2026 bermula 12 hingga 15 Mac depan di WTC Kuala Lumpur, sekali gus terus aktif mengembangkan empayar bisnesnya menjelang Aidilfitri. – HIBGLAM.

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok