DALAM industri hiburan Korea Selatan, sambutan hari jadi bukan lagi sekadar tentang kek mewah, papan iklan gergasi di Times Square atau pemberian hadiah jenama mewah daripada peminat.
Sebaliknya, kebanyakan selebriti berlumba-lumba menderma sempena hari ulang tahun.
Tindakan tersebut bukan sahaja meringankan beban golongan memerlukan tetapi dapat mengangkat reputasi artis sebagai suri teladan kepada masyarakat.
Berikut merupakan lima artis yang sering berkongsi rezeki dengan masyarakat pada hari jadi.
- S.Coups SEVENTEEN
SEBAGAI ketua kumpulan SEVENTEEN, S.Coups terkenal dengan sikap pemurah.
Setiap kali menyambut ulang tahun pada 8 Ogos, pemilik nama sebenar Choi Seung-cheol itu akan menderma dalam jumlah yang besar, namun melakukannya secara senyap.
Selain membantu kanak-kanak daripada keluarga berpendapatan rendah, dia juga aktif menderma kepada rumah perlindungan haiwan terbiar dan organisasi menyelamat anjing.
- IU
DIKENALI sebagai pelopor utama budaya menderma di Korea, penyanyi dan pelakon IU pasti akan melakukan sumbangan setiap kali hari jadinya pada 16 Mei.
Difahamkan, pemilik nama penuh Lee Ji-eun itu akan mengeluarkan jumlah yang sangat besar untuk pelbagai agensi.
Uniknya, dia menderma di bawah nama IUAENA iaitu gabungan namanya dan juga kelab peminat, Uaena.
Fokus sumbangannya meliputi kebajikan kanak-kanak, biasiswa untuk pelajar kurang berkemampuan serta bantuan khusus buat warga emas yang tinggal bersendirian.
- I.N Stray Kids
Meskipun merupakan antara artis termuda, penyanyi I.N menunjukkan kematangan yang luar biasa dalam hal kebajikan terutamanya ketika hari jadinya pada 8 Februari.
I.N atau nama asalnya Yang Jeong-in secara rasmi menjadi ahli Green Noble Club kumpulan penderma menyumbang lebih 100 juta won (RM 32,500-RM33,500).
Dana sumbangannya disalurkan untuk membantu rawatan perubatan kanak-kanak yang menghidap penyakit kronik dan kanser.
- RM BTS
KETUA kumpulan BTS, RM dikenali dengan minatnya yang mendalam terhadap seni dan sejarah.
Setiap 12 September, RM atau nama Kim Nam-joon pasti akan menyumbang kepada sektor yang jarang mendapat perhatian.
Dia pernah menyumbang ratusan juta won untuk memulihkan artifak sejarah Korea yang berada di luar negara dan menyokong pendidikan muzik bagi pelajar yang ada masalah pendengaran.
Sikap murah hati pelantun lagu Butter itu menjadi sorotan ramai bahkan peminatnya iaitu ARMY turut menanam ribuan pokok atau membina hutan kecil atas namanya.
- Jinyoung GOT7
PENYANYI Jinyoung antara selebriti yang konsisten menghulurkan sumbangan setiap kali menyambut ulang tahun pada 22 September.
Ahli kumpulan GOT7 itu bekerjasama rapat dengan organisasi antarabangsa Save The Children.
Jinyoung atau nama penuhnya Park Jin-young sering menyalurkan bantuan untuk kanak-kanak di kawasan pedalaman, memastikan mereka mendapat bekalan makanan berkhasiat dan akses kepada alat tulis untuk persekolahan.
