‘Sangat sukar, Kak Gee cuba menahan, tetapi kalah’

TIDAK dapat menahan emosi sebak, air mata penyanyi Ziana Zain tumpah di pentas Konsert Sembilu The Reunion tatkala terkenang momen kehilangan ibu dan bapanya dalam tempoh yang singkat.

Ziana dilihat tiba-tiba beremosi dan menangis usai menyampaikan lagu Puncak Kasih dan mendapat sorakan gemuruh penonton.

“Sangat sukar berada di situasi Kak Gee (panggilan mesra dirinya) sekarang ini bila anda sudah tiada kedua ibu bapa. Anda kena harungi dalam masa empat bulan. Anda kena menyanyi di Konsert Empat dan Konsert Sembilu.

“Ya Allah Kak Gee cuba menahan sebenarnya. Kak Gee ingat Kak Gee boleh, tetapi Kak Gee kalah. Allahuakbar,” katanya bersaksikan 10,000 penonton yang membanjiri Axiata Arena, malam tadi.

Anuar Zain yang turut hadir dilihat sama-sama menangis melihat keadaan kakaknya di atas pentas.

Ziana kemudian membacakan surah al-Fatihah kepada kedua ibu bapanya dan diaminkan seluruh penonton yang hadir.

Sewaktu ditemui HibGlam usai tamat konsert, Ziana atau nama Siti Roziana Zain, 58, berkata dia terbayang wajah arwah bapa dan ibunya sewaktu berada di atas pentas.

“Mereka pasti gembira bila kalau dapat lihat anak mereka beraksi di tempat besar seperti Axiata Arena ini. Sayangnya tidak kesampaian.

“Menyanyi ini bukan sahaja saya punya ‘passion’, tetapi abah juga. Apa yang membuatkan saya sebak bila kedua-dua mereka sudah tiada.

“Tiada siapa lagi yang akan bertanya kau balik pukul berapa nak? Kau pakai baju apa? Siapa mekap kau? Semua itu sudah tiada lagi. Nak minta tolong sembahyang hajat untuk kita pun dah tak ada lagi,” katanya.

Biarpun dicengkam emosi kehilangan dua ‘syurga’ paling bermakna dalam hidup, namun Ziana menjadikan pesanan arwah ibu dan bapanya sebagai azimat untuk kekal kuat.

“Pada mulanya saya tertanya-tanya macam mana saya nak menyanyi di konsert kerana saya baru sahaja kehilangan ibu dan bapa. Tetapi saya kena kuat demi adik-adik dan anak-anak.

“Apa yang buatkan saya kuat semangat adalah nasihat arwah mak dan abah dulu. Mereka cakap nak apa pun terjadi dalam kehidupan kau tak kisahlah bila kami dah tak ada nanti kau kena terus ke depan. Jangan pandang belakang.

“Kerja bersungguh-sungguh seikhlas hati. Buat yang terbaik yang kau boleh. Jaga hati peminat. Bukan senang orang nak sayang kita. Ini tanggungjawab. Tunaikan sebaik mungkin,” kongsinya.

Dalam konsert yang berlangsung selama hampir tiga jam itu, Ziana, Awie dan Erra menghiburkan ribuan peminat mereka dengan rangkaian lagu hits yang dipetik menerusi filem-filem popular antaranya Anggapanmu, Di Ambang Wati dan Pasrah. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok