Syukur, surau sumbangan ramai disempurnakan dalam setahun – Rizalman

PEREKA fesyen tersohor, Datuk Rizalman Ibrahim, 55, menzahirkan rasa syukur surau yang dibina hasil sumbangan orang ramai menerusi Yayasan Rizalman Ibrahim yang terletak di Taman Jaya, Sungai Dua, Butterworth akhirnya beroperasi.

Surau yang diberi nama Ar-Rijal bernilai RM1.5 juta itu dirasmikan semalam usai solat Isyak bersama para jemaah yang hadir.

Menurut Rizalman pembinaan surau itu memberi makna besar kepada dirinya kerana tidak pernah menyangka akan terlibat dalam usaha membina rumah ibadah bagi komuniti setempat.

“Saya sendiri tidak pernah terfikir akan terbabit dalam pembinaan rumah Allah di kawasan ini. Namun Allah permudahkan segala urusan dan saya sangat bersyukur.

Saya rasa sungguh terharu terhadap komitmen para penyumbang yang memungkinkan projek ini disempurnakan dalam tempoh setahun.

“Jarang ada projek yang sepenuhnya bergantung kepada dana orang ramai dan penyumbang persendirian berjalan begitu lancar. Ini semua nikmat Allah yang sangat luar biasa,” katanya.

Menurutnya, pembangunan surau itu bermula daripada kawasan kosong sebelum diangkat menjadi pusat ibadah yang akan dimanfaatkan penduduk setempat.

Tambahnya lagi pembinaan itu juga membuktikan keupayaan Yayasan Rizalman Ibrahim menguruskan dana orang ramai dengan amanah dan telus.

Selain membawa sentuhan pengalaman beliau sebagai pereka fesyen, Rizalman berkata reka bentuk surau tetap mengekalkan unsur kesederhanaan selaras dengan fungsi rumah ibadah.

Nilai paling utama surau itu bukanlah pada aspek estetik tetapi peranannya sebagai tempat menyatukan masyarakat melalui ibadah.

“Membina masjid atau surau merupakan salah satu amalan jariah yang membawa ganjaran pahala berpanjangan kepada umat Islam,” ujarnya.

Tambahnya , Surau Ar-Rijal menjadi bukti bahawa kesungguhan dan keikhlasan mampu merealisasikan sesuatu yang pada awalnya kelihatan mustahil.

Dalam masa sama, beliau merakamkan penghargaan kepada semua penderma, sukarelawan serta penduduk setempat yang terlibat menjayakan pembinaan surau tersebut.

Surau Ar-Rijal kini dibuka sepenuhnya kepada masyarakat setempat bagi pelaksanaan ibadah dan program komuniti. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok