Hamil? Kami belum berusaha ‘all out’ – Hannah Delisha

MESKI sudah hampir enam tahun mendirikan rumah tangga, pelakon Hannah Delisha berasakan belum ada keperluan untuk melakukan sebarang rawatan kehamilan.

Menurut Hannah atau nama penuhnya Hannah Adlina Blackburne Birch, 30, dia sebaliknya lebih cenderung menjaga kesihatan diri secara dalaman buat masa ini.

“Setakat ini, saya belum sampai ke tahap mendapatkan rawatan.

Namun, saya tidak menyalahkan sesiapa yang melakukannya tetapi untuk saya dan suami, kami belum berusaha secara ‘all out’ ke arah itu.

“Buat masa ini, saya hanya mengambil makanan tambahan dan suplemen sebagai langkah menjaga kesihatan dalaman,” katanya kepada HibGlam ketika ditemui pada sidang media Kandungan Ramadan Astro 2026, baru-baru ini.

Berkongsi mengenai pengalaman diuji mengalami keguguran dua tahun lalu, Hannah menyifatkannya sebagai satu memori pahit yang meninggalkan impak mendalam.

Namun, dia memilih untuk tidak membiarkan dirinya larut dengan kesedihan sebaliknya mengangggap ujian tersebut adalah hikmah dan aturan hidup daripada Allah.

“Setiap orang ada ujian masing-masing. Ada diuji dengan kesihatan, kewangan dan saya pula, ujiannya adalah zuriat.

Sehingga hari ini saya tidak meletakkan sebarang tekanan berlebihan dan serahkan semuanya kepada Allah.

“Bila sampai masanya, saya percaya semuanya akan berlaku dengan izin-Nya,” katanya lagi.

Tambahnya, dia juga akan mengambil cuti panjang daripada dunia lakonan sekiranya diberikan rezeki untuk hamil sekali lagi satu hari nanti.

Akui pelakon kelahiran Singapura itu, perkara tersebut menjadi pengajaran buatnya kerana yakin antara faktor mengalami keguguran sebelum ini adalah jadual kerja yang padat.

Pengalaman kehamilan pertama dahulu juga sangat padat dengan jadual kerja dan mungkin itu antara sebab kandungan tidak kuat.

“Jadi, jika mengandung lagi nanti, secara automatik saya memang akan berehat sepenuhnya,”

Hannah bagaimanapun berkata, dia akan terus aktif berlakon selagi Tuhan tidak memberinya rezeki untuk berbadan dua.

Saya rasa ramai dalam kalangan figura awam pernah melalui fasa keletihan melampau (burnout). Bezanya, bagi wanita, ruang untuk berehat selalunya datang ketika mengandung.

“Tetapi selagi Allah SWT belum memberi rezeki itu, saya akan terus bekerja,” jelasnya.

Terdahulu, Hannah dan Imam yang juga pelakon dari Singapura mendirikan rumah tangga sekitar Februari 2021. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok