‘Sebelum ‘tutup mata’ harap dapat buat konsert dengan Raihan’

HANYA berserah kepada Allah, bekas ahli kumpulan Raihan, Nazrey Johani berhasrat untuk berkongsi pentas dengan anggota Raihan lain di dalam sebuah konsert sebelum menutup mata.

Penyanyi berusia 55 tahun itu berkata, ramai penggemar nasyid kontemporari merindui penampilan semua tunjang utama Raihan untuk kembali beraksi di atas satu pentas.

“Saya tidak lagi bersama mereka, jadi saya melatih diri untuk berserah saja kepada Allah. Apa pun saya masih meletakkan satu harapan, sekurang-kurangnya sebelum tutup mata (meninggal dunia) dapatlah buat konsert bersama mereka.

Iyalah kita tengok orang lain boleh bersatu buat konsert dan sebagainya. Kenapa kami tak boleh? Persoalan itu memang ada dalam fikiran. Bukan untuk saya, ini harapan peminat nasyid yang nak tengok saya bersama rakan lain.

“Tapi tak apalah, nak buat macam mana? Selagi Allah tidak menggerakkan hati, kita tak boleh buat apa-apa,” katanya Nazrey ketika ditemui di sesi latihan Konsert 25 tahun Inteam: Nur Kasih, baru-baru ini.

Menurutnya yang masih aktif menyanyi sejak bergerak solo pada 2006, dia bersama teman seperjuangan dalam kumpulan vokal harmoni itu tidak pernah berhubung memandangkan masing-masing sudah berbeza cabang.

Ikutkan memang tiada komunikasi selepas saya keluar daripada Raihan, saya tiada apa-apa lagi komitmen, perniagaan mahupun program dengan mereka,” ujarnya.

Ditanya sama ada masih rindukan momen ketika masih bersama Che Amran Idris, Abu Bakar Md Yatim, dan Amran Ibrahim, katanya perkara itu lumrah kerana bukan sedikit suka duka ditempuhi bersama.

Bahkan, Nazrey menegaskan sehingga sampai ke detik ini pun dia sangat menghargai selain memuji semua kelebihan yang dimiliki rakan-rakannya itu.

Kekasih dan suami isteri bercerai, bergaduh pun ada rindunya, inikan pula kami yang sebelum ini melalui segala perjuangan bersama-sama.

“Kalau tidak ada rindu mungkin orang itu bukan manusia dan dia juga tak punya hati nurani.

“Sehingga hari ini saya tetap hargai kawan-kawan saya dengan kelebihan dan kesusahan yang pernah kami lalui suatu ketika dulu,” katanya.

Mengenai kemunculan dalam Konsert 25 tahun Inteam: Nur Kasih pula, Nazrey yang mengakui teruja untuk tampil di Axiata Arena Bukit Jalil pada 1 Februari ini sudah melakukan persediaan rapi.

Selaku artis jemputan, dia bakal membawakan dua lagu pada malam itu malah berharu dengan undangan Inteam yang mahu membantunya.

Saya tahu mereka bukan sekadar menjemput saya muncul di stadium besar itu nanti, tetapi juga bantu saya bangkit selepas menjalani rawatan jantung. Sebelum ini saya ada terbabit dalam album Inteam.

“Kiranya tawaran itu hadir tiga bulan selepas saya keluar hospital. Syukur dan lerima kasih Inteam sebab ingat saya,” katanya.

Selain Nazrey, Jonsert 25 Tahun Inteam: Nur Kasih anjuran Icon Entertainment bakal menyaksikan persembahan dua lagi penghibur jemputan iaitu Datuk M. Nasir dan Zizi Kirana. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok