Ajal di puncak populariti, kisah duka 5 bintang muda

MATI tidak mengenai usia dan status. Ketentuan Allah datang pada bila-bila masa sahaja.

Ada yang menutup hayat saat damai menamat usia tua, ada juga tiba-tiba cahaya marak padam saat baru hendak mengenal dunia.

Industri hiburan Indonesia juga sering dikejutkan dengan berita tertutupnya hayat bintang muda yang sedang berada di puncak populariti sekali gus meremukkan hati banyak peminat, apatah lagi kebanyakan mereka tidak menunjukkan sebarang tanda sakit sebelum menghembuskan nafas terakhir.

HibGlam minggu ini menyingkap kembali kronologi pemergian lima bintang seberang yang pergi dalam usia yang masih hijau.

Melitha Sidabutar

PENYANYI muda berbakat besar, Melitha Sidabutar dilaporkan meninggal dunia pada usia 23 tahun, mengikuti jejak kembar seirasnya, Melisha, yang telah pergi empat tahun lebih awal.

Pelantun lagu Tuhan Tahu itu dikejarkan ke hospital di Bekasi, Indonsia selepas kesihatannya merosot drastik.

Pihak keluarga mengesahkan kegagalan jantung menjadi punca kematian, takdir yang hampir sama dengan kembarnya yang meninggal dunia akibat bengkak jantung pada usia 19 tahun.

Laura Anna Edelenyi

KISAH paling tular dan diangkat ke layar perak, pempengaruh Laura Anna dilaporkan meninggal dunia pada usia 21 tahun.

Laura mengalami kelumpuhan separuh badan (paraplegia) selepas terlibat dalam kemalangan ngeri pada Disember 2019 akibat kecuaian bekas kekasihnya, Gaga Muhammad, yang memandu di bawah pengaruh alkohol.

Di tengah-tengah perjuangan menuntut keadilan terhadap teman lelakinya, kesihatan Laura semakin merosot secara tiba-tiba kemudian akhirnya meninggal dunia.

Gusti Irwan Wibowo

PEMUZIK berbakat besar, Gusti Irwan Wibowo pula meninggal dunia pada usia 25 tahun, 15 Jun tahun lalu.

Dia dilaporkan terjatuh di bilik air di kediamannya dan ahli keluarga bergegas membawanya ke hospital berdekatan untuk mendapatkan rawatan kecemasan.

Bagaimanapun, penyanyi yang berasal dari Kalimantan Barat itu disahkan meninggal dunia sejurus tiba di pusat perubatan.

Punca sebenar kematian belum didedahkan secara terperinci namun insiden jatuh dalam bilik air sering dikaitkan dengan serangan jantung atau strok.

Lula Lahfah

KES terbaharu melibatkan pempengaruh dan penyanyi Lula Lahfah yang dilaporkan meninggal dunia selepas ditemui tidak bernyawa di atas katil di kediamannya pada 23 Januari lalu.

Lula yang juga merupakan kekasih vokalis Weird Genius, Reza Arap menutup hayat pada usia 26 tahun, masih muda.

Pihak berkuasa menemui sejenis pil ubat di tempat kejadian sekali gus menepis spekulasi unsur jenayah. Sebelum meninggal dunia, Lula sempat menjawab persoalan pengikut dalam media sosial mengenai penyakit yang dihidapnya. Lula dipercaya berdepan pelbagai penyakit tetapi tidak mahu diperincikannya kepada umum.

Babe Cabita

INDUSTRI komedi kehilangan sebutir permata apabila pelawak Babe Cabita menghembuskan nafas terakhir pada usia 34 tahun pada 9 April 2024.

Pemergian juara Stand Up Comedy Indonesia (SUCI) musim ketiga itu bukan sahaja mengejutkan rakan artis malah meninggalkan kesan mendalam buat jutaan peminat yang terhibur dengan gaya lawaknya.

Sebelum meninggal dunia, Babe atau nama sebenarnya Priya Prayogha Pratama sudah lama bertarung dengan penyakit nadir atau Anemia Aplastik, yang menyerang fungsi sumsum tulangnya. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok