DIDAKWA menunaikan ibadah umrah tanpa keizinan suami, pelakon Linda Hashim menegaskan perjalanan suci itu dilakukan atas dasar ketaatan kepada Allah, bukan mengikut kehendak manusia.
Linda atau nama sebenarnya Norhazlinda Hashim, 42, berkata, keputusan berangkat ke Tanah Suci dibuat selepas mendapatkan pandangan agamawan yang menyifatkan keizinan suami tidak lagi relevan apabila tanggungjawab sebagai ketua keluarga gagal ditunaikan, termasuk isu nafkah serta tindakan memudaratkan emosi isteri.
“Perlu ke saya minta izin seperti dia? Saya sudah bertanya ustaz dan ustazah. Mereka kata, Linda pergilah. Kau perlu taat kepada Allah.
Apabila suami memudaratkan, tidak memberi nafkah, dia sudah tidak layak memegang peranan sebagai khalifah. Saya pergi untuk beribadah, bukan untuk berseronok,” katanya kepada HibGlam.
Tambah pelakon Syaitan Munafik itu, Beego mengetahui hasrat tersebut sejak awal, malah pernah menyimpan pasport milik dirinya dan anak-anak sehingga memaksanya membuat laporan polis serta memohon dokumen baharu.
Dia tahu saya mahu pergi. Pasport kami sekeluarga pernah diambil. Bila minta semula, hanya pasport anak dipulangkan. Pasport saya tiada. Akhirnya terpaksa buat pasport baharu sekitar Ogos tahun lalu.
“Anak sendiri beritahu, ‘Mami nak pergi umrah nanti kan?’ Jadi mustahil dia tidak tahu,” ujarnya selepas selesai prosiding lafaz taklik, hari ini.
Paling sakit kata Linda, hatinya tergurus apabila bekas suaminya mendakwa pemergiannya ke umrah bukan atas jemputan Allah, sebaliknya sekadar ihsan penaja.
“Saya diberitahu kononnya saya pergi atas ihsan orang, bukan kerana Allah jemput. Saya seram dengar ayat itu. Masya-Allah, berani sungguh cakap begitu.
Walaupun atas ihsan orang, itu tetap rezeki. Tapi hakikatnya, setiap orang menjejakkan kaki ke sana hanya kerana jemputan Allah. Tidak kira siapa.
“Ramai artis sebelum saya tidak dapat pergi. Akhirnya giliran saya. Itu sudah tertulis sebagai rezeki,” dedahnya.
Dalam masa sama, Linda memilih untuk tidak melayan mesej-mesej peribadi diterima daripada suaminya, sebaliknya cuba memahami keadaan emosi lelaki itu.
Ada mesej-mesej saya terima, tapi saya diam. Saya faham dia berada dalam keadaan tidak stabil,” luahnya.
Terdahulu, Linda berkongsi tangkap layar mesej dipercayai dihantar Beego yang mendoakannya menerima kifarah ketika menunaikan ibadah umrah pada 24 Disember lalu.
Mesej tersebut mencetuskan pelbagai reaksi warganet apabila Beego dilaporkan menulis, “Nanti pergi umrah pasti ada kifarah. Baik atau buruk sebab masih isteri.”
Perkongsian itu sekali gus mengundang simpati ramai terhadap Linda, malah rata-rata netizen mendoakan agar aktres berkenaan terus tabah menghadapi ujian rumah tangga serta diberi ketenangan jiwa. – HIBGLAM
