MEMPERTAHANKAN rakan seperjuangan, Nabila Razali kesal apabila nyanyian seseorang penyanyi dinilai bersandarkan kehidupan peribadinya.
Nabila atau nama sebenarnya Nur Nabila Mohd. Razali, 33, berkata, situasi tersebut dirasakan agak kelakar kerana sepatutnya penilaian seharusnya dibuat berdasarkan mutu vokal.
Kelakar bagaimana sesetengah orang menilai nyanyian melalui kehidupan peribadi, bukan pada suara,” tulisnya dalam platform Threads.
Menerusi ruangan komen, ramai menebak bahawa hantaran tersebut dipercayai merujuk kepada peserta Gegar Vaganza musim 12 (GV12), Nubhan yang hanya meraih tempat ketiga dalam pertandingan realiti itu.
Sebelum itu, penyanyi juga usahawan makanan terbabit dikecam berikutan isu perceraiannya dengan bekas isteri, Dr. Afifah Hidayah.
Tidak menunggu lama, gara-gara perkongsian dibuat Nabila, ramai netizen meninggalkan komen berbaur kutukan yang turut mengejek suaranya.
Setuju dengan you (awak). Macam you la, suara tak berapa nak sedap pun tapi you ada kegigihan nak nyanyi juga. Syukur netizen tak kecam, kena terima juga okey la tu,” tulis seorang pemilik akaun Threads.
“Jangan mendongak sangat kak. Suara hang pun tak sedap, macam suara budak-budak, suara kepit, asyik terkucil kalau nyanyi,” kata pengguna lain.
Tidak melatah, penyanyi lagu Peluang Kedua itu membalas semua kata-kata menghiris hati dengan menyatakan tiada insan sempurna.
“Tidak pernah sekali pun saya mengakui saya seorang yang serba sempurna, saya masih belajar. Sentiasa.
Tapi menarik yang anda katakan saya ‘mempertahankan’ seseorang. Kalau benar, sila tunjukkan bukti,” katanya.
Pada masa sama, ada dalam kalangan netizen menasihati Nabila agar jangan membalas kecaman kerana bimbang berisiko memakan diri. – HIBGLAM
