BEKAS suami Adira Suhaimi, Datuk Adnan Abu Bakar menegaskan tindakannya memfailkan pengesahan lafaz rujuk bukan disebabkan dirinya masih berharap dapat kembali kepada bekas isterinya.
Menurut Adnan atau Datuk Red, permohonan tersebut bagi memastikan sama ada lafaz rujuk yang berlaku sah atau sebaliknya.
“Ini bukan soal tak ‘move on’ atau gila talak sebab sekarang status saya dengan dia masih lagi tergantung dan semua ini berkaitan hukum agama. Adakah saya masih suami orang? Pengesahan lafaz rujuk itu saya failkan untuk memastikan sah atau tidak.
Kalau hakim kata lafaz rujuk itu sah, maksudnya saya masih lagi suami dia tapi kalau tidak sah, masing-masing sudah boleh bawa hala tuju masing-masing.
“Saya merujuk kes ini ke mahkmah sebab tak nak jadi isu nanti. Andai katalah saya leka, pasal dosa pahala ini saya yang akan tanggung.
“Saya ada banyak dosa, jadi tak nak tambah yang baru. Kalau tiba-tiba Adira atau saya nak berkahwin lagi, pasti akan susah,” katanya kepada HibGlam selepas sebutan pertama pengesahan lafaz rujuk yang berlangsung di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Barat, hari ini.
Menjawab tindakannya memfailkan pengesahan lafaz rujuk selepas lebih setahun bercerai, Adnan berkata, semua persoalan tersebut akan terjawab pada perbicaraan yang akan dijalankan pada 16 Februari depan.
Itu kena tunggu 16 Februari nanti kerana saya tak nak mengeruhkan lagi keadaan.
“Kita tunggu saja perbicaraan yang akan dilakukan secara tertutup nanti,” katanya lagi.
Adnan juga memberitahu, dia juga berdepan halangan komunikasi dengan bekas isteri berhubung hal anak sehingga terpaksa berkomunikasi dengan orang tengah iaitu adik-beradik ataupun pembantu rumah penyanyi itu.
“Buat masa ini saya ada masalah untuk berkomunikasi pasal anak. Saya tak nak berkomunikasi dengan orang tengah, seperti dengan bibik, itu saja saya minta.
Jangan takut, saya tak ada cerita-cerita apa melainkan pasal anak saja,” jelasnya.
Sementara Adnan pula menjelaskan dia tidak mengetahui mengenai dakwaan bekas isterinya sudah mempunyai teman istimewa ketika ini.
“Dia ada kekasih ke? Saya pun tak tahu.
Saya pun tak tahu sebab sekarang ini netizen pula tuduh saya yang ada kekasih sedangkan tidak pun,” jelasnya lagi.
Hari ini, Mahkamah Rendah Syariah Gombak Barat menetapkan 16 Februari depan sebagai perbicaraan pertama pengesahan lafaz rujuk yang difailkan usahawan Datuk Red terhadap Adira.
Red memfailkan pengesahan rujuk di Mahkamah Syariah Gombak Barat pada Disember tahun lalu.
Untuk rekod, Red dan Adira mendirikan rumah tangga pada 3 Disember 2015 namun perkahwinan berakhir dengan perceraian pada 24 April lalu.
Hasil perkahwinan tersebut mereka dikurniakan empat cahaya mata iaitu Anggrek, 7, Asan, 6, Anggun, 5, dan Ayob, 3. – HIBGLAM
