Rayuan diterima, Ezad Lazim bakal mengerjakan haji

MENDAPAT hadiah tahun baharu, penyanyi Ezad Lazim bersyukur impian untuk menunaikan haji dimakbulkan selepas mendapat jawapan daripada Tabung Haji (TH) pada 1 Januari lalu berkenaan permohonan rayuannya.

Ezad atau nama lengkapnya Mohd. Rohaizad Mohd. Lazim, 46, berkata selepas beberapa tahun mengemukakan rayuan, akhirnya doa mahu mengerjakan rukun Islam kelima itu didengar Allah.

“Saya dapat keputusan tersebut selepas mengemukakan siri rayuan sejak beberapa tahun lalu tetapi belum ada rezeki sampailah Disember 2025 apabila permohonan isteri saya diluluskan TH.

“Waktu itu saya cuma mampu berdoa, mudah-mudahan nama saya ‘naik’. Dapatlah menunaikan ibadah yang kami tunggu-tunggi ini bersama dengan isteri.

“Alhamdulillah, saya dimaklumkan rayuan saya diterima pada 1 Januari menerusi emel. Ini merupakan hadiah tahun baharu paling bermakna,” katanya kepada HibGlam pada sidang media Kedah Nite 2026, semalam.

Kehadiran Ezad merupakan tanda sokongan selaku anak Kedah terhadap pengumuman Majlis Santapan DiRaja pada 14 Februari depan anjuran Persatuan Rantauan Warisan Kedah.

Mengulas lanjut mengenai persiapan ke Tanah Suci, vokalis Exists itu berkata , persediaan sebelum tiba musim haji beberapa bulan lagi sudah dimulakan termasuk menjalani saringan kesihatan yang sangat ketat.

Menurut vokalis Exists itu lagi, persediaan sebelum tiba musim haji beberapa bulan lagi sudah dimulakan termasuk menjalani saringan kesihatan yang sangat ketat.

“Kali ini saringan kesihatan yang perlu dilalui bakal jemaah agak ketat. Ramai yang dapat (tawaran), tapi disebabkan isu kesihatan, mereka tidak dapat pergi. Doakan semuanya dipermudahkan,” ujarnya.

Menyingkap sejarah perjalanannya ke Tanah Suci, penyanyi itu memaklumkan dia sudah mengerjakan umrah sebanyak empat kali sejak tahun 2015, termasuk pernah bertugas sebagai pembantu mutawif pada awal 2020.

Bakal bergelar haji pada usia 46 tahun, Ezad tidak menafikan wujud rasa sayu dan bimbang memandangkan dia dan isteri, Zeana Ramli perlu meninggalkan dua anak mereka dalam tempoh sekitar 45 hari.

Malah dia juga menolak perancangan untuk sebuah konsert mega yang sepatutnya berlangsung tahun ini demi memberi perhatian terhadap ibadah haji.

“Saya sudah cakap kalau dapat haji, saya tidak boleh buat konsert kerana belum tahu tarikh balik dan walau apa pun, saya pilih untuk utamakan urusan haji dahulu,” ujarnya.

Buat masa ini, Ezad sudah mula mengosongkan jadual kerjaya seni terutama selepas sambutan Aidilfitri nanti bagi memberikan tumpuan penuh kepada persiapan mental dan fizikal sebelum berangkat ke Mekah. –  HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok