KECOH isu seorang pelakon mendakwa pernah menjadi mangsa amang seksual, penyanyi Zaki Yamani mendedahkan pernah berdepan situasi hampir sama ketika masih bersekolah.
Zaki atau nama lengkapnya Ahmad Zaki Yamani Jamal Ubaidillah, 19, mendakwa seorang individu yang bekerja dalam bidang produksi berani bertindak melampaui batas apabila meletakkan tangan di atas ribanya ketika mereka berada berdua-duan di dalam sebuah bilik.
“Saya pernah mengalami benda itu. Masa kejadian ketika sedang bekerja, saya ada jumpa seseorang dan dia panggil saya masuk bilik, saya ingatkan fasal apa rupanya dia macam dah mula lain sikit.
“Dia mula sentuh saya, tangan dia berada di atas riba saya dan kata saya tampan, muka saya jambu. Benda itu buatkan saya tak selesa.
“Dari situ saya tahu yang orang ini bukan nak bagi kita kerja atau rezeki tapi sebaliknya. Saya terus bangun, keluar daripada bilik. Nasib baik ibu saya ada di kawasan itu jadi saya pun bagitahu ibu saya,” katanya kepada HibGlam, semalam.
Meskipun sudah meningkat dewasa, pelantun lagu Percayaku itu lebih selesa membawa ibunya Fatimatuzahra Samat, 42, di sisi terutama ketika bertemu individu baharu atas urusan kerja.
“Sekarang ini apa-apa sahaja kalau kerja yang tiba-tiba panggil ke bilik saya akan bawa ibu saya sebab saya lebih selesa kalau dia ada,” katanya lagi.
Selain itu, Zaki turut mendedahkan pernah diganggu melalui media sosial apabila seorang wanita menawarkan bayaran puluhan ribu ringgit semata-mata untuk melakukan panggilan video dengannya.
“Saya ada dapat DM (mesej langsung) dari TikTok, seorang perempuan tua dia ada tawar nak bayar saya dalam puluhan ribu. Saya ingatkan kerja.
“Jadi, saya pun balas mesej, dia tanya boleh tak nak video call (panggilan video). Saya terus sekat dia, saya tak bodoh.
“Perkara ini saya tak beritahu pada ibu saya sebab saya rasa sekarang dah akal, sudah pandai berfikir, Jadi, benda-benda begini kita kena tepis terus,” jelasnya.
Bagaimanapun, Zaki tidak menceritakan atau berkongsi perkara terbabit dengan bapanya yang juga penyanyi, Jamal Abdillah.
“Tak, saya tidak pernah cerita apa-apa pun yang terjadi pada saya, dulu masa mula-mula menyanyi pun saya tak beritahu dia
“SPM (Sijil Pelajaran Malaysia) saya habis ke apa semua saya tak ada cakap dekat dia pun. Nak berlakon pun dia tak tahu, mungkin ada orang bagitahu dia tapi daripada saya memang tidak kongsikan sampai sekarang.
“Cuma kalau dia tanya baru saya akan beritahu dia,” tuturnya ketika sidang media drama TikTok berjudul FYP Macam VIP.
Sebelum ini, pelakon Alqal Sahar turut mencetuskan perhatian apabila membuat pendedahan mengejutkan mendakwa pernah menjadi mangsa amang seksual seorang pengarah ketika masih kanak-kanak.
Dalam perkembangan lain, Zaki merupakan antara pelakon yang terbabit dalam siri TikTok yang dihasilkan menerusi kolaborasi strategi antara McDonald’s Malaysia dan Media Prima. – HIBGLAM
