AIM25 perkenal kategori Lagu Borneo Terbaik, Lagu Perayaan Terbaik

ANUGERAH Industri Muzik ke-25 (AIM25) bakal melakar sejarah tersendiri apabila buat julung kali berlangsung di Sarawak sempena sambutan Jubli Perak penganjurannya.

Majlis berprestij anjuran Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM) itu dijadual berlangsung di Borneo Convention Centre Kuching (BCCK) pada 26 September depan dengan sokongan Kementerian Komunikasi, Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Persembahan Sarawak (MTCP), TVS serta MyCreative Ventures.

Lebih istimewa, AIM25 memperkenalkan dua kategori baharu iaitu Lagu Borneo Terbaik dan Lagu Perayaan Terbaik bagi meraikan kepelbagaian budaya serta perkembangan industri muzik tempatan.

Kategori Lagu Borneo Terbaik diwujudkan bagi menghargai karya mengangkat budaya, bahasa, tradisi dan identiti masyarakat Sabah serta Sarawak, manakala Lagu Perayaan Terbaik pula mengiktiraf karya menjadi sebahagian daripada sambutan pelbagai perayaan di negara ini.

Pengerusi RIM dan AIM, Rosmin Hashim berkata, penganjuran edisi ke-25 membawa makna cukup besar kerana menjadi simbol perjalanan dan evolusi industri muzik tempatan sepanjang lebih dua dekad.

“AIM25 amat bermakna kerana kita meraikan Jubli Perak anugerah muzik paling berprestij di Malaysia.

Sepanjang 24 edisi lalu, AIM terus mengiktiraf bakat, kreativiti dan dedikasi penggiat muzik tempatan, selain berevolusi mengikut perubahan landskap industri.

“Kami merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Kementerian Komunikasi, MTCP Sarawak, TVS dan CATS FM atas sokongan diberikan bagi memastikan AIM25 berlangsung dengan jayanya,” katanya kepada HibGlam pada sidang media Anugerah Industri Muzik ke-25 (AIM25, hari ini.

Dalam perkembangan sama, AIM25 menerima suntikan dana lebih besar apabila Kementerian Komunikasi meningkatkan peruntukan Dana Kandungan Kreatif (DKK) daripada RM700,000 kepada RM950,000.

Daripada jumlah tersebut, pemenang bagi 15 kategori akan menerima geran DKK bernilai RM50,000 setiap satu, manakala pemenang Album Terbaik Tahun Ini membawa pulang geran berjumlah RM200,000.

Selain itu, MTCP Sarawak turut menyalurkan geran RM1 juta sebagai tanda komitmen memperkasa industri kreatif, selain mengangkat Kuching sebagai destinasi penganjuran acara seni berskala besar.

Bagi edisi kali ini, sebanyak 33 kategori dipertandingkan termasuk kategori utama seperti Artis Baharu Terbaik, Vokal Lelaki Terbaik, Vokal Wanita Terbaik, Lagu Terbaik Tahun Ini dan Album Terbaik Tahun Ini, selain Anugerah Sri Wirama sebagai pengiktirafan khas.

Proses penilaian bakal dikendalikan panel profesional industri muzik dengan komposer terkenal Ajai dilantik sebagai Ketua Juri.

Keputusan akhir pula akan melalui proses audit juruaudit bebas sebelum diumumkan, manakala penerima Anugerah Sri Wirama ditentukan oleh Ahli Majlis RIM.

Pencalonan AIM25 dibuka kepada lagu dan album dalam bahasa Melayu, Inggeris, Cina serta India yang diterbitkan di Malaysia antara 1 Januari hingga 31 Disember 2025.

Proses penyerahan pencalonan bermula 16 Julai hingga 6 Ogos 2026, manakala lima calon akhir dijangka diumumkan pada September menerusi laman rasmi AIM. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok