Bah besar The Great Flood realistik, tak mustahil berlaku

SAAT ulasan untuk filem ini dinukilkan, naskhah diberi judul The Great Flood arahan sutradara Kim Byung-woo itu menduduki tangga pertama carta filem di Netflix Malaysia.

Dibintangi barisan pelakon hebat seperti Kim Da-mi, Park Hae-soo dan Kwon Eun-seong, The Great Flood cukup menonjol terutama dari segi terjemahan lakonan teraju utamanya Da-mi dan visual yang memberangsangkan.

Filem berbahasa Korea ini hadir sebagai sebuah karya bencana yang berbeza daripada kebiasaan apabila tidak meraikan kemusnahan secara berlebihan, sebaliknya memilih pendekatan lebih senyap, suram dan menghimpit emosi.

Banjir besar dijadikan latar utama untuk mengupas ketakutan, keputusasaan dan naluri manusia apabila berdepan situasi di luar kawalan.

Kim Byung-woo yang terkenal dengan gaya pengarahan realistik dan berintensiti tinggi, sekali lagi membuktikan keupayaannya mengawal tempo dan emosi penonton.

Sejak awal, filem ini dibina dengan ketegangan perlahan, seolah-olah memberi amaran bahawa malapetaka yang bakal melanda bukan sekadar fizikal, tetapi juga psikologi.

WATAK Gu An-na (kiri) yang menjadi nadi utama turun naik emosi dalam The Great Flood.

Fokus naratifnya mengenai sekumpulan manusia yang terperangkap dalam tragedi banjir besar, tanpa sebarang keistimewaan atau heroisme luar biasa. Pendekatan ini menjadikan penceritaan lebih dekat dengan realiti, sekali gus membuatkan penonton mudah berempati dengan penderitaan yang dipaparkan.

Kekuatan paling ketara filem ini terletak pada lakonan bintang utamanya, Kim Da-mi sebagai Gu An-na yang menjadi tunjang emosi keseluruhan naratif.

Dengan ekspresi wajah yang minimum dan bahasa tubuh yang terkawal, dia berjaya menyampaikan ketakutan, kebimbangan serta konflik dalaman seorang manusia yang terpaksa membuat pilihan sukar demi kelangsungan hidup.

Lakonannya tidak bersifat dramatik berlebihan, sebaliknya bersahaja, namun mendalam. Setiap renungan mata dan reaksi kecil membawa makna, menjadikan wataknya terasa hidup dan rapuh.

Penonton bukan sahaja melihat banjir yang memusnahkan, tetapi turut merasai tekanan emosi yang menghimpit jiwa watak tersebut.

Dari segi visual, sinematografi ditampilkan dengan tona warna gelap dan kelam, melambangkan suasana harapan yang semakin tenggelam.

Komposisi kamera yang sempit dan tertutup memberikan rasa terperangkap, seolah-olah penonton turut berada di dalam situasi serupa, menunggu nasib yang tidak pasti.

KIM Da-mi berjaya menterjemahkan wataknya dengan cemerlang sebagai ibu yang sanggup mempertaruhkan nyawa demi anaknya.

Reka bentuk bunyi juga memainkan peranan penting dalam membina suasana. Deruan air yang berterusan, bunyi runtuhan serta keheningan selepas kemusnahan mencipta ketegangan berpanjangan.

Elemen bunyi ini digunakan dengan bijak tanpa perlu muzik latar yang berlebihan.

Perlahan

Namun begitu, rentak penceritaan perlahan mungkin menguji kesabaran sesetengah penonton, khususnya mereka yang mengharapkan aksi bencana berskala besar dan dramatik.

Beberapa babak terasa panjang, tetapi sebenarnya berfungsi untuk membina tekanan emosi secara beransur-ansur.

Dari sudut tema, The Great Flood mengangkat persoalan tentang nilai kemanusiaan, pengorbanan dan sikap mementingkan diri ketika berdepan bencana.

Filem ini mengingatkan kita bahawa dalam situasi genting, manusia bukan sahaja berjuang melawan alam, tetapi juga melawan ketakutan dan naluri sendiri.

Kesimpulan, The Great Flood sebuah filem bencana yang matang dan berlapik, diperkukuhkan oleh pengarahan kemas Kim Byung-woo serta lakonan utama yang menyentuh emosi.

Bukan tontonan ringan, tetapi sebuah pengalaman sinematik yang meninggalkan kesan mendalam tentang betapa rapuhnya manusia di hadapan kuasa alam. Markah peribadi 70/100. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok