TAHUN 2025 menyaksikan pentas K-pop berdentum lebih kencang, dipacu deretan bintang besar dengan pengaruh melangkaui sempadan bahasa dan benua.
Dominasi carta, anugerah berprestij serta impak budaya global menjadi penanda aras baharu kejayaan industri muzik Korea.
Bukan hanya angka jualan atau sorakan peminat, kejayaan tahun ini turut terakam melalui sejarah carta Billboard, pencalonan Grammy, jelajah dunia berskala mega serta pengiktirafan institusi antarabangsa.
Setiap langkah membawa naratif kuasa, konsistensi dan keberanian bereksperimen. Dari studio rakaman ke pentas festival dunia, bintang K-pop membuktikan daya tahan dan kebolehan menakluk arus perdana.
Muzik, fesyen dan lakonan bersatu membina ekosistem pengaruh menyeluruh.
Kimchi Panas minggu ini menampilkan lima artis unggul dengan pencapaian luar biasa, memahat nama sebagai nadi utama pentas seni Korea.
Lisa

Anggota kumpulan Blackpink, Lisa terus memimpin gelombang global menerusi album solo Alter Ego yang menembusi 10 teratas Billboard 200, sekali gus muncul sebagai diskografi solo K-pop paling laris di Amerika Syarikat bagi separuh pertama 2025.
Dominasi carta diteruskan apabila lagu Moonlit Floor (Kiss Me) dan Chill berada serentak dalam Billboard Hot Dance/Pop Songs malah karya terbabit mencatat tempoh terpanjang dalam carta radio Adult Contemporary bagi artis K-pop.
Kemenangan idola berusia 28 tahun itu di MTV Video Music Awards 2025 menerusi lagu Born Again menambah koleksi anugerah, disusuli persembahan ikonik di Coachella dengan 6.1 juta sebutan sekali gus ‘trending’ dalam media sosial.
Pengaruhnya diperakui Forbes Korea Power Celebrity 40 serta carian Google global, sebelum melangkah ke dunia lakonan melalui The White Lotus musim ketiga dan akan beraksi di layar perak menerusi filem aksi terbaharu Netflix bertajuk TYGO.
G-Dragon

Kepulangan G-Dragon mengukuhkan status ‘King of K-pop dengan sapu licin anugerah utama Daesang di Melon Music Awards dan dinobatkan Artist of the Year di MAMA Awards.
Selain itu, album berjudul Übermensch memecah rekod jualan hari pertama sebanyak 639,176 unit selain melonjak pantas dalam penstriman Melon serta menguasai carta iTunes di 27 negara.
Peranan ketua kumpulan BigBang itu sebagai duta APEC 2025 mengangkat muzik sebagai diplomasi budaya diserlahkan melalui persembahan eksklusif di hadapan pemimpin dunia.
Jelajah dunia Ubermensch pula menyaksikan tiket habis dijual, termasuk dua malam di Kuala Lumpur.
Jennie

Tidak tercicir daripada senarai Kimchi Panas adalah anggota kumpulan Blackpink, Jennie yang menutup 2025 sebagai simbol kejayaan mutlak K-pop moden.
Pengiktirafan Forbes Korea meletakkannya di tangga teratas idola tahun ini, disokong pencapaian album Ruby di bawah label Odd Atelier.
Tambah mengujakan, lebih tiga bilion penstriman Spotify diiringi jualan 4.2 juta unit serta tiga lagu serentak iaitu Like Jennie, Handlebars dan ExtraL dalam Billboard Hot 100 mencipta sejarah baharu.
Bukan itu sahaja, diiktiraf Daesang Record of the Year dan pengaruh fesyen bertaraf dunia mengesahkan Jennie sebagai ‘trendsetter’ utama industri hiburan global.
Jimin

Walaupun menamatkan khidmat tentera pertengahan tahun, anggota kumpulan BTS, Jimin kekal dominan sebagai raja reputasi jenama dengan rekod 55 bulan di tangga teratas.
Lagunya berjudul Who mencatat tempoh terpanjang bagi solois K-pop dalam Billboard Hot 100, sekali gus memecah rekod lama.
Di Spotify pula, dua lagunya melepasi 1.3 bilion strim sekali gus mengukuhkan kedudukan sebagai solois lelaki K-pop paling banyak distrim di Amerika Syarikat.
Pengaruh fesyen melonjak apabila penampilannya di Paris Fashion Week menghasilkan nilai impak media tertinggi.
Rose

Tuah terus mendakap penyanyi Rose dengan deretan karya meledak sekali gus menutup 2025 sebagai ikon pop global melalui album sulung Rosie.
Kolaborasi lagu berjudul APT. bersama Bruno Mars mencipta sejarah apabila menembusi Top 10 Billboard Year-End Hot 100 dan menguasai Billboard Global 200 selama 12 minggu.
Lebih membanggakan, pencalonannya dalam Grammy menerusi kategori utama menandakan detik bersejarah, manakala album Rosie mencatat kedudukan ketiga Billboard 200 dan memasuki carta akhir tahun.
Pengaruh idola berusia 28 tahun itu dimantapkan dengan kemenangan Daesang MAMA Awards, trofi Melon Music Awards serta pengiktirafan TIME 100.
Dia juga dipuji Presiden Korea Selatan atas sumbangannya dalam memartabatkan budaya popular Korea di peringkat global. – HIBGLAM
