MELUNASKAN janji, pelakon Datin Intan Najuwa membawa keluarga pembantu rumahnya dari Filipina ke Kuala Lumpur bagi meraikan Krismas.
Intan atau Intan Najuwa Abdul Wahid, 28, berkata, jasa Jussele menjaga puterinya, Imane Lunara amat dihargai dan rasa berbesar hati dapat menyatukan wanita terbabit dengan familinya pada perayaan tersebut.
“Jussele, pembantu rumah saya. Dia antara rezeki terbesar dalam hidup saya. ‘
Dia menjaga Lunara dengan penuh kasih sayang dan saya amat berterima kasih kepadanya,” tulisnya dalam hantaran di Threads.
Dalam perkongsian tersebut, Intan menunjukkan gambar pembantunya menikmati hidangan bersama ahli keluarga yang dipercayai baru tiba di kediamannya.
Menurut ibu kepada seorang anak itu lagi, sebelum ini dia pernah memaklumkan mahu membawa keluarga Jussele ke Malaysia sekali gus bersyukur apabila dapat merealisasikan perkara tersebut.
Saya pernah berjanji untuk menerbangkan keluarganya ke Kuala Lumpur dan kini saya dapat membawa anaknya dari Filipina supaya mereka dapat menyambut Krismas bersama-sama.
“Selamat menikmati musim cuti, Jussele dan keluarga!” ujarnya berkongsi kegembiraan.
Terdahulu, Intan mendirikan rumah tangga dengan ahli perniagaan, Datuk Ahmad Azraf Azman pada Ogos 2023.
Pasangan itu dikurniakan seorang cahaya mata perempuan bernama Imane Lunara pada 15 Disember tahun lalu. – HIBGLAM
