PELAKON Zarina Zainuddin menyelar keras kenyataan dikeluarkan individu bergelar ‘coach cerai’ selepas mendakwa mampu menilai kebahagiaan rumah tangga pasangan suami isteri hanya dalam tempoh lima minit.
Zarina atau nama sebenarnya Nur Zarina Mohd. Zainuddin, 54, menyifatkan kenyataan sedemikian melampaui batas dan berpotensi merosakkan hubungan pasangan yang sedang diuji.
“Menyirap pula aku dengar benda macam ini. Orang bergaduh dalam rumah tangga perkara biasa, lepas gaduh boleh baik semula.
“Kalau tak ada mulut-mulut penghasut, elok saja rumah tangga orang tu.
Jangan jadi batu api la coach cerai. Kau dah berpuluh tahun kahwin ke sampai rasa layak menilai hidup orang,” katanya dalam ruangan komen.
Tambah pelakon filem Jwanita itu, setiap perkahwinan hadir bersama ujian tersendiri dan tiada siapa berhak menentukan hala tuju bahagia atau derita pasangan lain.
“Rumah tangga orang lain, caranya pun lain-lain. Takkan semua sama. Ada pasang surut, kau ingat kahwin setiap hari manis saja ke? Perjalanan penuh ranjau berduri.
Geram betul bila orang memandai-mandai. Siapa kau sebenarnya nak jadi ‘coach cerai’? Kang ada pula kena ‘hak tui’ nanti,” tegasnya.
Luahan ibu dua anak itu turut mendapat perhatian netizen yang rata-rata bersetuju dengan pendiriannya dan menyifatkan kewujudan ‘coach cerai’ sekadar menambah kusut keadaan.
“Setuju sangat dengan Zarina, rumah tangga orang jangan sesuka hati nak campur tangan. Jangan buat kerja Tuhan lah! Kau siapa?,” komen netizen.
Benda sensitif macam ni tak patut dijadikan konten, lebih-lebih lagi libatkan emosi orang lain.Coach cerai ni lebih banyak rosakkan daripada membantu,” tulis pengguna media sosial.
Sebelum ini, tular sebuah audio siar memaparkan individu bergelar ‘coach cerai’ mendakwa mampu mengenal pasti kebahagiaan pasangan suami isteri hanya dalam masa lima minit, sekali gus mencetuskan rasa kurang senang dalam kalangan masyarakat.
Individu berkenaan turut menjadi bualan ramai apabila dilihat menemani pelakon Uqasha Senrose ke Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan pada prosiding kedua perceraian bersama Kamal Adli, sehingga mengundang pelbagai reaksi netizen. – HIBGLAM
