Malam indah bersama Kangen Band

PENANTIAN lebih setengah jam kemunculan Kangen Band di pentas Zepp Kuala Lumpur minggu lalu pada awalnya mencetuskan sedikit kecewa penonton.

Apatah lagi kumpulan dari Indonesia itu langsung tidak menyebut kata maaf atas kelewatan selepas menyogokkan khalayak dengan satu klip video panjang memperkenalkan barisan anggota.

Begitupun, emosi peminat kembali terubat sebaik vokalis, Kangen Band, Andika Maesa mendendangkan seleksi ‘mencairkan’ hati, sekali gus membuatkan peminat melupakan kekhilafan yang berlaku.

Rangkaian lagu yang dinyanyikan pada malam 2 September lalu sememangnya mengimbau kenangan lama.

Kesemua dendangan yang disampaikan Andika selaku vokalis seperti Terbang, Doy dan Tentang Hati mengingatkan suka duka zaman kanak-kanak.

SELEKSI lagu yang didendangkan sepanjang persembahan membuai emosi penonton.

Tidak dilupakan, lagu popular yang masih menjadi siulan sehingga ke hari ini berjudul Pujaan Hati yang dilancarkan sekitar 14 tahun lalu.

 

Enggan membiarkan momentum konsert Kangen Pada Kenangan terganggu, persembahan dirancakkan dengan lagu Jangan Bertengkar Lagi, Selingkuh, Cinta Sampai Mati, Kehilangan Mu Berat Bagi Ku dan Yakinlah Aku Menjemput Mu.

Berada di posisi paling depan, Andika bijak mengambil hati penonton apabila tidak berhenti memuji pengikut tegar mereka yang memeriahkan gelanggang persembahannya.

Lebih bermakna apabila penyanyi berusia 40 tahun itu turut mengambil telefon bimbit peminat beberapa kali bagi merakam sendiri suasana konsert dari atas pentas.

Hal tersebut sebagai tanda kenang-kenangan buat peminat menyaksikan Kangen Band di depan mata.

Selain Andika, kumpulan asal Lampung yang ditubuhkan pada 2005 itu turut membariskan Dodhy Hardiyanto, Rustam Wijaya, Novri Azwar dan Muhammad Bari dan Alfarizi.

Malam semakin hangat apabila Andra iaitu vokalis kumpulan Bagindas pula mengambil alih pentas dalam segmen khas.

Sangat mengejutkan apabila dia berjaya menambat hati peminat ketika menyampaikan tiga lagu iaitu Suka Sama Kamu, Cinta dan 100% Cintaku.

KEMUNCULAN istimewa vokalis kumpulan Bagindas, Andra menjadi nilai tambah konsert Kangen Band di Kuala Lumpur.

Penonton seperti tidak puas dengan tiga dendangan, tetapi seperti diucapkan, mereka harus sabar menunggu konsert khas Bagindas sendiri.

Enggan mensia-siakan tempoh dua jam, Kangen Band kembali ke pentas meneruskan baki durasi singkat dengan Juminten, Nilailah Aku, Penantian Yang Tertunda, Cinta Yang Terlarang dan Tentang Aku Kau Dan Dia.

Bertepatan nama konsert Kangen Pada Kenangan, kumpulan dibarisi enam jejaka itu ternyata meninggalkan memori indah buat khalayak.

Bukan hanya menyajikan persembahan bertenaga, penutup konsert pula menyenaraikan lagu hit Kembali Pulang, Bintang 14 Hari, Cinta Yang Sempurna dan Yolanda sangat bermakna. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok