‘Circle saya keluarga berpecah belah, anak yatim’

PENYANYI Shila Amzah mengakui pernah dinasihatkan menjauhkan diri daripada individu berlatarbelakangkan keluarga bermasalah atau ‘broken home’ namun memilih untuk menolak pandangan tersebut.

Ujar Shila atau nama sebenarnya Nurshahila Amir Amzah, 35, pandangan sedemikian terlalu sempit dan gagal memahami realiti kehidupan ramai insan di sekeliling.

“Ada orang berpesan supaya jangan bergaul dengan individu daripada keluarga berpecah belah.

Hakikatnya, circle (lingkungan) saya terdiri daripada mereka daripada latar itu atau anak yatim,” katanya dalam Threads.

Tambah pelantun lagu Masih Aku Cinta itu, setiap manusia berhak merasai kasih sayang tanpa perlu diadili berdasarkan sejarah keluarga.

“Kita semua berhak merasai sayang antara satu sama lain. Semua perkara itu berlaku bukan atas kehendak atau pilihan kami.

Benar, trauma silam bukan untuk jiwa lemah, tetapi bukan alasan untuk meminggirkan sesiapa,” ujarnya.

Paling penting kata ibu dua anak itu, dia bersyukur kerana dikelilingi sahabat sejati, sentiasa setia menemani saat jatuh bangun kehidupannya.

“Saya bersyukur dipertemukan dengan rakan-rakan baik.

Terima kasih kerana sentiasa ada, waktu susah dan senang,” luahnya.

Menjengah ke ruangan komen, rata-rata netizen tampil menyokong pendirian Shila, malah memuji kematangan serta empatinya terhadap isu kemanusiaan.

Broken home bukan pilihan. Kata-kata Shila mewakili ramai daripada kami. Terima kasih kerana bersuara,” tulis seorang netizen.

“Orang berhati besar sahaja mampu memahami luka orang lain. Semua itu sudah tertulis dan siapa kita untuk menghakimi orang lain,” komen seorang pengikut.

“Semoga Shila terus dikelilingi insan baik dan dipermudahkan segala urusan hidup, cukuplah derita itu,” ujar seorang peminat.

Terdahulu, kehidupan peribadi Shila pernah menjadi perhatian umum susulan pelbagai kontroversi melibatkan hubungan keluarga termasuk ibu, adik-beradik serta bapanya.

Bagaimanapun, situasi itu kini dilihat semakin reda dan hubungan kekeluargaan kembali stabil. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok