‘Harap dia hadir ke mahkamah’ – Raja Azura iklan cari bekas suami

GAGAL mendapatkan kerjasama, pengacara Raja Azura meneruskan tindakan penyampaian ganti dengan menyiarkan iklan pencarian bekas suaminya, Adzmin Osman dalam akhbar bagi menyelesaikan tuntutan tunggakan nafkah tiga anak mereka di Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam.

Menurut Raja Azura atau nama sebenarnya Raja Azura Tengku Ahmad Tajudin, 53, tindakan tersebut merupakan prosedur yang perlu diambil susulan Adzmin enggan menerima dokumen afidavit selain meminta dia menghadirkan diri ke mahkamah pada 3 Disember depan.

Sebelum ini, penyerahan afidavit tidak berjaya sebab tidak mahu memberi maklum balas, jadi saya terpaksa memohon penyampaian ganti.

“Iklan pun disiarkan hari ini (semalam) dan saya berharap dia dapat hadir serta menjelaskan kepada mahkamah mengenai tunggakan nafkah anak-anak,” katanya kepada HibGlam selepas majlis pengumuman malam Pra Kemuncak Anugerah Bintang Popular ke-37 di sini, semalam.

Ujarnya, tiada harapan besar yang diletakkan sebaliknya hanya meminta Adzmin hadir ke mahkamah bagi menyelesaikan tuntutan tunggakan nafkah tiga anak mereka.

“Bila iklan sudah keluar, barulah saya boleh beritahu umum kerana itu perintah mahkamah. Harap dia hadir dan selesaikan isu tunggakan nafkah ini.

Dia kena datang sendiri dan membuat pengakuan tentang hutang nafkah yang tertunggak sebelum kes boleh diteruskan ke peringkat seterusnya,” jelasnya.

Raja Azura bagaimanapun menegaskan tidak akan sesekali merayu untuk bekas suaminya muncul bahkan sehingga kini lokasi keberadaan Adzmin juga masih belum diketahui.

“Saya tidak akan merayu tetapi meminta dia hadir.

Saya pun tak tahu dia di mana sehingga sekarang dan kalau saya cari sendiri, nanti jadi gaduh, kalau boleh nak selesaikan secara damai,” tuturnya.

Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam pada 6 November lalu turut menetapkan 3 Disember depan sebagai tarikh baru bagi penyerahan laporan penyampaian ganti yang dilakukan pihak plaintif.

Terdahulu, Raja Azura pada 10 September lalu memfailkan permohonan kebenaran pelaksanaan penghakiman berkaitan nafkah tiga anaknya daripada Adzmin yang didakwa culas membayar mengikut perintah mahkamah sejak 15 tahun lalu.

Raja Azura mendirikan rumah tangga dengan Adzmin pada 2001 dan bercerai pada 28 September 2010.

Hasil perkahwinan, mereka dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Megat Muhammad Raziq, 23, Megat Luqman Haqim, 22, dan Puteri Mia Maizura, 20. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok