‘Terima kasih Nubhan’ – Afifah lega dapat hak penjagaan tiga anak

ISTERI kepada penyanyi Nubhan, Dr. Afifah Hidayah Ahmad Tawfek akhirnya menarik nafas lega apabila memperoleh hak penjagaan penuh tiga anaknya.

Menurut Afifah, dia mengakui berdebar sebelum menanti keputusan hadanah cinta hatinya, Aafiya, 8, Ahmad Aaffan, 6, dan Afzan Nayille yang berusia tiga tahun hari ini.

Alhamdulillah rasa sangat bersyukur. Sebelum hari ini memang ada juga rasa risau tetapi selepas hakim sahkan saya peroleh hak penjagaan anak, rasa lega dan terharu.

“Saya cuma nak pengesahan daripada mahkamah, itu saja yang penting,” katanya kepada HIbGlam selepas prosiding hadanah di Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam, hari ini.

Dalam pada itu, dia yang juga seorang doktor gigi berterima kasih kepada Nubhan kerana memberi kerjasama yang baik sehingga isu hadanah dapat diselesaikan dengan harmoni.

“Terima kasih kepada semua yang mendoakan, beri sokongan dan juga nak ucapkan terima kasih juga kepada pihak Nubhan sebab banyak memberi kerjasama untuk selesaikan hak jagaan anak.

Apa-apa pun keutamaan saya ketika ini memang anak-anak dan akhirnya mereka kembali kepada saya,” katanya lagi.

Sementara, Nubhan pula enggan memberi sebarang kenyataan dan menyerahkan kepada pihak peguamnya untuk menjelaskan mengenai keputusan hari ini.

“Terima kasih banyak-banyak untuk hari ini.

Minta maaf, pihak peguam saya akan terangkan sebab saya sudah lambat, nak ‘copek’ (cepat), kena pergi Gegar Vaganza,” ujarnya.

Hari ini, mahkamah di sini mengesahkan Afifah memperoleh hak penjagaan penuh tiga anaknya sementara Nubhan pula hak lawatan dua kali sebulan.

Menurut peguam syarie, Datuk Akberdin Abdul Kader, hasil persetujuan bersama, Nubhan dibenarkan berjumpa tiga anaknya sebulan dua kali iaitu minggu pertama dan minggu ketiga.

Manakala pada hari raya Aidilifitri dan Aidiladha pula secara bergilir-gilir.

Terdahulu, Nubhan memfailkan hadanah (hak penjagaan anak) terhadap tiga anaknya hasil perkahwinan dengan Dr. Afifah di Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam pada September lalu.

Menurut peguam syarie yang mewakilinya, Mohd. Redzuan Ramli, Nubhan atau nama penuhnya Ahmad Nubhan Ahamad memfailkan dua tuntutan iaitu hadanah kekal dan interim.

Terdahulu, selepas 10 tahun mendirikan rumah tangga, Nubhan mengejutkan ramai apabila didakwa sudah menceraikan isterinya selain memfailkan pengesahan lafaz talak.

Mahkamah Rendah Syariah Sepang seterusnya menetapkan 2 Disember depan bagi tarikh sebutan kes pengesahan lafaz cerai yang difailkan penyanyi, Nubhan ke atas Dr. Afifah. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok