PELAKON veteran Korea Selatan iaitu Lee Soon-jae dilaporkan meninggal dunia pada usia 91 tahun, hari ini.
Mendiang yang terkenal sebagai aktor tertua di Korea Selatan menghembuskan nafas terakhir setelah lebih enam dekad mengabdikan diri dalam dunia lakonan.
Sehingga Oktober lalu, Soon-jae masih aktif berlakon sebelum mengambil keputusan berehat kerana masalah kesihatan.
Antara projek terbaharunya termasuk pementasan Waiting For Godot dan drama Dog Knows Everything terbitan KBS 2TV.
Dalam satu tempoh, dia pernah terlibat dengan 30 produksi berbeza hanya dalam sebulan, menunjukkan dedikasi luar biasanya terhadap seni lakon.
Tahun lalu juga menjadi detik bersejarah apabila Soon Jae menerima Anugerah Utama (Grand Prize) tertua dalam sejarah Anugerah Drama KBS.
Dalam ucapan penuh emosi, mendiang mengakui tidak pernah menyangka akan menerima penghormatan sebesar itu selepas puluhan tahun berbakti dalam dunia hiburan.
Sepanjang kerjayanya, Soon-Jae membintangi lebih 140 karya termasuk drama popular Dongui Bogam, Seeing and Seeing Again, Men of the Bathhouse, Rustic Period, Land, dan Mom’s Dead Upset.
Kecekapan dan komitmennya membuat dia disegani sebagai figura seni yang tidak mengenal penat lelah.
Selain seni lakon, Soon-jae juga pernah menceburi bidang politik.
Pada 1992, dia dipilih sebagai ahli Parlimen mewakili Parti Demokratik Liberal bagi kawasan Jungnang Gap di Seoul.
Sepanjang tempoh itu, dia turut berkhidmat sebagai jurucakap timbalan parti serta Setiausaha Agung Liga Parlimen Korea–Jepun.
Tidak lokek berkongsi ilmu, mendiang juga dikenali sebagai mentor yang membimbing bakat muda.
Beliau berkhidmat sebagai profesor khas di Jabatan Seni Persembahan, Universiti Gachon sehingga akhir hayatnya, meninggalkan legasi yang dihormati dalam dunia hiburan dan pendidikan. – HIBGLAM
