‘Cuma cerita saya hampir terjerumus, Allah tarik kembali’

DITUDUH seolah-olah cuba menormalisasikan gejala songsang susulan perkongsian dalam program audio siar, pelakon Ieda Moin menafikan dakwaan tersebut sebaliknya menjelaskan hanya berkongsi pengalaman hidup yang pernah dilalui.

Menurut Ieda atau nama sebenarnya Siti Haida Abdul Moin, 46, kontroversi tercetus apabila penonton membuat tafsiran berdasarkan potongan video pendek bukan keseluruhan perbualan yang dirakam.

“Saya tidak terfikir langsung perkara itu akan menjadi kontroversi. Ketika bercerita, suami dan anak pun ada bersama. Punca isu ini timbul apabila mereka hanya menonton video yang dipotong pendek.

“Mereka mula kata saya menormalisasikan budaya songsang. Sedangkan jika ditonton sehingga akhir, saya hanya berkongsi pengalaman hidup dan apa yang pernah saya lalui,” katanya kepada Kosmo! Online pada sidang media drama Sumpah Ibuku, di sini, baru-baru ini.

Jelas pelakon filem Saka Perawan itu, tujuan perkongsiannya adalah untuk menjadikan kisah hidupnya sebagai pengajaran dan perkara negatif dijadikan sempadan kepada orang lain.

“Saya bercerita supaya yang buruk dijadikan sempadan dan yang baik dijadikan pengajaran. Bukan untuk menggalakkan sesiapa membuat perkara itu.

“Saya cerita dari awal bagaimana saya murung, sampai pernah pegang anak dan terfikir untuk terjun.

“Semua itu saya kongsikan untuk menunjukkan bahawa pada akhirnya ada pelangi selepas ujian,” ujarnya.

Menjelaskan kembali situasi, Ieda menafikan dirinya songsang, namun mengakui pernah hampir terjerumus tetapi diselamatkan rakan-rakannya.

“Saya sudah beritahu, saya ditegur awal rakan-rakan.

“Mereka pesan saya tidak boleh begitu. Bukannya saya teruskan,” katanya.

Pada masa sama, Ieda meminta orang ramai tidak mengecam pengacara audio siar tersebut iaitu Aidid Marcello memandangkan sudah memberi keizinan untuk menyiarkan video audio siar berkenaan.

“Dia ada tanya sebelum keluarkan dan saya beri izin sebab saya rasa bukan isu besar. Bukannya saya buat dosa, saya cuma cerita saya hampir terjerumus tetapi Allah tarik saya kembali.

“Apabila timbul kecaman, dia hubungi saya bertanya sama ada mahu turunkan video itu.

“Di Facebook pula komen semakin melampau, jadi saya minta dia padamkan kerana tidak mahu perkara itu sampai kepada keluarga dan orang tua sehingga menimbulkan salah faham,” ujarnya.

Sebelum ini, pendedahan Ieda menerusi audio siar menerusi YouTube AididitMyWay menarik perhatian ramai apabila klip video berkenaan memaparkan pengakuan wanita itu tentang pengalaman hampir menjadi songsang.

Susulan pendedahan terbabit, Ieda menerima kecaman ramai kerana dituduh membuka aib sendiri. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok