‘Mahu Sabah bersih warga asing, dadah, fokus isu miskin’

PENYANYI Azharina berharap setiap pemimpin yang bakal dipilih rakyat menerusi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah pada 29 November depan akan membawa perubahan besar dan positif untuk itu.

Lantang bersuara untuk tanah kelahirannya, Azharina berkata, terlalu banyak perubahan yang ingin dilihat bagi menambah baik sosio-ekonomi rakyat negeri Sabah termasuk berkaitan peluang pekerjaan dan pembersihan warga asing.

“Sebagai anak kelahiran Sabah, saya mahu kerajaan membasmi kebanjiran warga asing yang terlalu ramai di Sabah.

Kalau pernah ke Sabah, pasti nampak ramai pendatang tanpa izin di tepi jalan sehingga ada yang berani ketuk cermin kereta untuk meminta duit.

“Keadaan ini secara tidak langsung memberi imej buruk untuk rakyat Sabah termasuk mencacatkan pandangan orang luar terutama pelancong,” katanya kepada HibGlam pada majlis pelancaran single duet terbaharunya bersama Nana Karia, Biar Gambar Bicara, semalam.

Bukan itu sahaja, dia juga mahu melihat rakyat Sabah bebas masalah ketagihan dadah selain menyelesaikan isu bekalan elektrik yang sehingga kini masih tidak berkesudahan.

“Saya juga memang menekankan isu tentang masalah sosial di Sabah seperti penagih dadah dan menghisap gam secara terbuka di tempat awam.

Kemudian, masalah utiliti seperti elektrik dan air yang masih menyusahkan rakyat di sana sehingga hari ini,” katanya lagi.

Dia bagaimanapun menegaskan, segala pandangan disuarakan hanyalah sebagai seorang rakyat yang menuntut perubahan selain meminta wakil rakyat dipilih kelak menyelami dan mendengar keperitan rakyat Sabah.

Saya bukan mahu jadi wakil rakyat kerana tidak layak pun namun bercakap mewakili anak kelahiran Sabah yang mengharapkan ada perubahan.

“Saya juga berharap pilihan raya tahun ini rakyat Sabah pilih calon yang buat kerja dan terbaik untuk memimpin serta memajukan Sabah.

Kenapa Sabah antara tiga negeri termiskin di Malaysia? Perkara itu harus dipandang serius oleh semua pihak.

“Setiap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) atau Ahli Parlimen yang bakal memerintah selepas PRN nanti, terimalah teguran ini sebagai satu benda yang baik dan positif,” jelasnya.

Terdahulu, Azharina dalam satu temu bual bersama media baru-baru ini menzahirkan harapan agar rakyat Sabah membuat keputusan tepat pada PRN dengan memilih pemimpin dan parti yang mampu membawa transformasi besar untuk negeri tersebut. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok