Cemas! Ariana Grande ‘diserang’ peminat di Singapura

*Bahu Ariana Grande dirangkul peminat agresif di Singapura*

SELEBRITI popular dunia Ariana Grande berdepan detik cemas apabila dipeluk secara mengejut tanpa kerelaan seorang peminat lelaki pada acara tayangan perdana filem terbaharunya, The Wicked: For Good di Singapura.

Dalam kejadian yang berlaku di Resorts World Sentosa itu, Ariana bersama dua pelakon naskhah terbabit termasuk Tan Sri Michelle Yeoh dan Cynthia Erivo sedang berjalan di karpet merah sebelum lelaki dipercayai warganegara Australia itu menderu masuk dan merangkul bahu pelantun lagu Thank U, Next itu.

Cemas dengan apa yang terjadi, Ariana atau nama sebenarnya, Ariana Grande-Butera, 32, ditenangkan Cynthia yang bertindak umpama pengawal keselamatan.

Berikutan insiden keselamatan yang mencetuskan kekecohan seketika tidak dijangka itu, tayangan perdana filem di Singapura bagaimanapun tetap diteruskan tanpa sebarang kejadian lanjut.

Suasana kembali tenang apabila barisan pelakon terus melayan peminat serta menghadiri aktiviti yang telah dijadualkan  meskipun insiden awal itu nyata masih menjadi bualan dan meninggalkan kesan di hati ramai yang hadir.

Bagaimanapun, difahamkan pihak berkuasa Singapura membebaskan peminat agresif berkenaan yang dikenali sebagai Pyjama Man di Instagram.

“Saya kini bebas walaupun ditahan (sekejap),” ujar peminat terbabit menerusi hantaran dalam InstagramStory.

Peminat berkenaan turut memuat naik video yang menyaksikan dirinya bertindak demikian dalam Instagram dengan kapsyen: “Wahai Ariana Grande terima kasih kerana beri peluang kepada saya menderu masuk ke karpet merah (kuning) bersamamu.”

Ramai yang tidak berpuas hati dengan tindakan lelaki itu. Rata-rata menyifatkannya biadab dan tidak menghormati acara rasmi yang sepatutnya menjadi mimpi indah buat artis dan kebanyakan tetamu lain.

“Apa yang anda lakukan adalah satu serangan. Berani anda meletakkan tangan di bahu Ariana Grande.

“Anda sudah merosakkan pengalaman peminat yang dah lama bermimpi untuk momen ini dan membahayakan nyawa orang lain. Tolonglah dapatkan rawatan (kalau sakit),” demikian antara komen peminat.

Ini bukan kali pertama Pyjama Man bertindak luar kawalan cuba memeluk artis terkenal.

Sebelum ini, antara yang menjadi mangsanya termasuklah Katy Perry dan The Weeknd pada konsert jelajah masing-masing yang menyaksikannya dia secara tiba-tiba muncul di atsa pentas tanpa rasa bersalah. – HIBGLAM

Suasana kecoh apabila lelaki dikenali sebagai Pyjama Man meluru ke ke arah Ariana Grande di karpet merah.

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok