‘Bayar RM1,400 nyanyi dua lagu? Kepala otak dia!’

HILANG semangat dan minat, penyanyi Ariff Bahran meluahkan rasa kecewa selepas menerima tawaran bayaran untuk persembahan nyanyian dengan harga yang terlalu rendah dan tidak munasabah.

Ujar Ariff atau nama sebenarnya Muhammad Ariff Bahran Ahmad Azhari, 27, dia ditawarkan hanya RM1,400 untuk menyanyikan dua lagu yang disifatkannya terlalu rendah dan tidak setimpal dengan usaha serta pengalaman dalam bidang seni.

“Aku tengah berurusan dengan seseorang, mereka nak aku nyanyi dua lagu untuk RM1,400.

Kepala otak dia, aku nak makan apa? Ini lagi buat aku rasa malas nak menyanyi,” katanya dalam TikTok.

Tambah pelantun Juara Dusta itu, tawaran tidak masuk akal sedemikian menyebabkan semangatnya untuk terus berkarya dalam bidang hiburan semakin pudar.

Justeru, dia memilih untuk mencari rezeki dengan cara lain memandangkan pendapatan tetap lebih terjamin.

“Dulu, alhamdulillah, aku pernah dapat RM25,000 dalam tujuh atau lapan tahun lepas. Masa itu aku masih bujang dan pasaran masih kuat.

“Duduk dalam pejabat sehari pun aku boleh dapat lebih banyak keuntungan daripada menyanyi di luar sana.

“Sebab itu sekarang aku lebih suka kerja tetap. Sekurang-kurangnya hasilnya jelas dan berbaloi,” ujarnya.

Dalam nada nasihat, bapa dua anak itu turut menitipkan pesanan buat generasi muda agar menggunakan masa sebaiknya untuk mencari rezeki secara bijak.

“Yang muda-muda, gunakan masa yang ada untuk cari duit dengan berniaga.

“Jangan sibuk kejar glamor kalau akhirnya tiada hasil,” tegasnya.

Luahan jujur Ariff itu lantas menarik perhatian ramai pengguna media sosial yang bersetuju dengan pandangannya, namun tidak kurang juga menasihatkannya agar terus bersyukur.

Untuk rekod, isu bayaran rendah bukan perkara baharu dalam industri seni tempatan.

Sebelum ini, artis seperti Azan Scan dan Azlee Senario turut pernah bersuara mengenai isu serupa melibatkan nilai bayaran tidak setimpal dengan pengalaman serta reputasi artis. –  HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok