DUA tahun mendirikan rumah tangga, pelakon Redza Rosli dan isteri, Bella Hanna bakal menimang cahaya mata pertama dalam tempoh terdekat.
Berita gembira itu dikongsikan pasangan selebriti terbabit menerusi satu hantaran istimewa dalam Instagram.
“Sangat bersyukur nyawa yang sedang membesar saya kandungkan (dalam perut).
“Dah lama saya impikan momen ini dan sekarang impian menjadi nyata. Tak sabar untuk bertemu bayi ini tidak lama lagi,” kongsi mereka seraya menyertakan emoji bayi lelaki.
Berita gembira itu juga dikongsikan rakan pasangan terbabit juga pelakon, Wanns Ahmad yang memuat naik foto majlis pengumuman jantina bayi di sebuah lokasi acara.
“Gender reveal anak sulung sahabat saya, Encik Redza Rosli dan isteri, Bella Hana.
“Kalian rasa lelaki ke perempuan? Nanti saya belanja video ‘reveal’ jawapan,” tulisnya dalam hantaran di Threads.
Berlatarkan rona putih dan coklat cair untuk latar dekorasi, Redza dan isteri turut muncul dengan persalinan mengikut tema.
Diadakan di tempat terbuka ala acara dalam taman, menerusi foto dikongsikan majlis tersebut dihadiri keluarga dan rakan terdekat sahaja.
Sebagai pelengkap namun menyuntik debaran, tetamu diminta menyertai permainan teka jantina bayi aktor berkenaan.
Tidak menunggu lama, Wanns kemudian berkongsi momen pendedahan jantina memperlihatkan semburan biru menandakan anak lelaki.
Terdahulu, Redza, 33, dan Bella, 29 mendirikan rumah tangga pada 21 Jun 2024.
Mereka pernah berlakon bersama menerusi drama Luruhnya Bunga Cinta musim pertama yang ditayangkan di slot Akasia TV3, sekitar 2023. – HIBGLAM
