MULA menggalas tanggungjawab sebagai mutawif, kumpulan nasyid Aeydan mengerjakan umrah bersama 40 jemaah yang terbang ke Mekah pada 6 November lalu.
Ketua kumpulan itu, Muhammad Ilham Fikri Mohammad Asri berkata buat pertama kali mereka menggalas amanah membimbing jemaah Malaysia di Tanah Suci di bawah The Mahabbah.
“Kami dilantik sebagai mutawif muda syarikat pengurusan umrah dan ziarah The Mahabbah pada Mei lalu, sekali gus tanggungjawab ini membuka lembaran baharu dalam perjalanan seni serta dakwah Aeydan.
“Amanah ini akan kami tunaikan sebaik mungkin, malah secara tidak langsung tugasan diberikan menjadi lonjakan buat Aeydan lebih dekat dengan masyarakat.
“Semoga penyatuan seni dan khidmat komuniti ini juga menjadi inspirasi selain pemangkin yang menunjukkan kumpulan nasyid mampu meluaskan peranan dalam pelbagai medium dakwah demi manfaat ummah,” katanya.
Aeydan yang ditunjangi lima pemuda lingkungan usia 20-an juga anak anggota kumpulan nasyid Rabbani itu dijadualkan berada di Mekah dan Madinah hingga 13 November ini.
Kumpulan itu semakin mencuri perhatian dalam industri muzik selepas dua single mereka iaitu Bintang dan Purnama mendapat sambutan di platform digital serta radio Islamik.
Penerimaan ramai membuktikan kemampuan Aeydan untuk menyuntik nafas baharu dalam genre nasyid kontemporari tanpa mengetepikan nilai dakwah dan keindahan seni Islamik.
Selain Muhammad Ilham, grup vokal harmoni yang ditubuhkan sejak sedekad lalu itu turut dibarisi Izwan Izzuddin Azadan, Farhan Rithauddeen, Fardeen Imran Rithauddeen dan Haikal Rahmat. – HIBGLAM
