Azlan Komeng, isteri dapat perintah halang Cik Pia keluarkan kenyataan

PASANGAN selebriti sensasi, Azlan Komeng dan Nur Nilam Ortiz memperoleh perintah injunksi inter partes daripada Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur terhadap individu bernama Norsufia Johari atau dikenali sebagai Cik Pia berhubung kenyataan didakwa berunsur fitnah terhadap mereka.

Perintah injunksi itu disahkan firma guaman Tetuan Kung, Yudhist, Anis, Rasyid Aziana & Co, yang mewakili pasangan tersebut dan mahkamah membenarkan permohonan berkenaan selepas meneliti hujahan serta dokumen yang dikemukakan kedua-dua pihak.

Menerusi kenyataan media, perintah tersebut melarang CP daripada mengeluarkan, menyiarkan atau menerbitkan sebarang kenyataan berpotensi fitnah kepada pasangan berkenaan sementara menunggu penyelesaian penuh kes saman yang difailkan Nur Nilam dan suaminya.

Menurut Nur Nilam, keputusan tersebut merupakan satu langkah positif dalam usaha mereka menegakkan kebenaran dan melindungi reputasi daripada kenyataan tidak benar di ruang awam.

Saya anggap ini permulaan yang baik dalam perjuangan kami mencari kebenaran. Kami hanya mahu membersihkan nama dan meneruskan kehidupan dengan tenang.

“Semoga proses mahkamah berjalan lancar,” katanya.

Perintah injunksi itu menandakan langkah penting dalam memastikan isu berkenaan diselesaikan melalui proses perundangan yang sah dan adil.

Pada Ogos lalu Nur Nilam dan Azlan memfailkan saman fitnah terhadap CP di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Tindakan undang-undang diambil selepas individu terbabit didakwa mencetuskan provokasi di media sosial. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok