SUDAH terbiasa berdikari, pelakon Datuk Rosyam Nor mengakui dirinya masih mengurus jadual kerjaya serta urusan harian tanpa bantuan pengurus peribadi mahupun pemandu.
Ujar Rosyam atau nama sebenarnya Mohamed Noor Shamsuddin, 58, sepanjang hampir empat dekad bergelar anak seni, dia lebih selesa bergerak sendiri, meskipun keluarga kerap menzahirkan kebimbangan terhadap tahap kesihatannya terutama apabila pulang lewat usai penggambaran.
“Paling bising tentu isteri dan anak-anak. Mereka risau sebab saya masih memandu sendiri.
“Balik pukul 3 pagi selepas penggambaran, mata mengantuk, kemudian masih pegang stereng. Itu buat mereka tak senang hati,” katanya kepada HibGlam.
Tambah Rosyam, syarikatnya turut mencadangkan agar dirinya mengambil pemandu bagi menjaga imej serta urusan profesional, namun perkara itu masih belum difikirkan secara serius.
Bukan tidak mampu, bintang filem KL Menjerit itu sebaliknya mengakui sudah terbiasa berdikari sejak zaman sukar anak seni dahulu.
“Untuk jaga prestij syarikat, ada juga minta saya ambil pemandu. Saya pun sedang fikir nak ambil atau tidak.
Dari dulu sampai sekarang saya tak pernah ada pemandu, tak ada PA (pembantu peribadi), tak ada manager. Semua jadual saya urus sendiri.
“Kalau orang hubungi saya, mesej saya, memang saya akan jawab sendiri,” ujarnya pada sidang media dan tayangan perdana filem Banduan, semalam.
Kata bapa lima anak itu, ramai artis seangkatannya tidak mampu menggaji pembantu dan situasi itu membentuk disiplin tinggi dalam kerjaya.
“Dulu gaji nak makan pun cukup-cukup, mana mampu bayar PA. Jadi kita buat sendiri.
Saya tak pernah bantah orang pakai PA atau manager, tapi saya selesa begini. Dan sepanjang kerjaya, pernah ke saya tak datang set, lambat atau gagal hadir janji temu? Tak pernah. Itu disiplin orang lama,” tegasnya.
Dalam perkembangan lain, Rosyam membintangi filem aksi Banduan, adaptasi blockbuster Tamil Kaithi.
Versi Malaysia itu diarahkan Kroll Azry dan diterbitkan Number Twenty One Media dengan kerjasama Dream Warrior Pictures, manakala Astro Shaw bertindak sebagai rakan pemasaran dan pengedaran.
Selain Rosyam, filem tersebut turut menampilkan barisan pelakon besar seperti Datuk Aaron Aziz, Datuk Afdlin Shauki, Zul Ariffin, Fadhli Masoot dan Adlin Aman Ramli.
Banduan bakal menemui penonton seluruh negara di pawagam mulai 6 November. – HIBGLAM
