‘Dia humble’ – Aaron Aziz sambut Karthi di KLIA 

PELAKON Datuk Aaron Aziz menyambut kedatangan bintang filem Tamil, Karthik Sivakumar atau Karthi yang berkunjung ke Malaysia sempena promosi filem baharunya berjudul Banduan.

Aaron atau nama lengkapnya, Aaron Mustapha Aziz, 48, berkata, aktor popular dalam industri perfileman India itu seorang lelaki yang merendah diri dan melayannya dengan baik ketika dia menjalani penggambaran di Chennai tahun lalu.

Karthi sangat humble (merendah diri) dan mesra, dia ada bertanya tentang jumlah filem yang sudah saya bintangi.

“Seperti mana saya dilayan dengan baik di Chennai ketika penggambaran filem Tik Tik Tik, saya pun berikan layanan baik kepada tetamu saya kali ini,” katanya dalam hantaran di Instagram.

Ketibaan aktor asal Chennai itu di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) turut disambut wakil produksi filem Banduan yang juga lakonan Aaron.

Filem aksi yang bakal ditayangkan pada 6 November ini merupakan olahan semula filem Tamil berjudul Kaithi yang pernah mencetuskan fenomena di India pada 2019.

Bagi versi tempatan, naskhah berkenaan diterbitkan Dream Warrior Pictures bersama Number Twenty One Media.

Karthi merupakan pelakon utama filem Kaithi bermaksud banduan yang mengisahkan seorang pesalah membantu pihak polis menumpaskan sindiket dadah dalam misi berbahaya ketika dalam perjalanan bertemu anak perempuannya.

Versi Malaysia berjudul Banduan diadaptasi dengan elemen tempatan di bawah arahan Kroll Azry turut menampilkan Datuk Rosyam Nor, Datuk Afdlin Shauki, Husyairi Hussain, Fadhli Masoot serta Abi Madyan.

Aktor berusia 48 tahun itu dijadualkan berada di Malaysia selama dua hari bagi menjayakan siri promosi Banduan, termasuk sidang media dan bertemu peminat. – HIBGLAMg

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok