BERGELUT kemelut rumah tangga, penyanyi Indonesia Raisa tetap menunjukkan persembahan memukau di majlis makan malam ASEAN Business and Investment Summit (ABIS) 2025, semalam.
Berlangsung di Malaysia International Trade and Exhibition Centre (MITEC), Kuala Lumpur, pemilik nama lengkap Raisa Andriana, 35, itu memikat hati jemputan dan delegasi luar negara dengan vokal gemersiknya.
Membawakan seleksi hitnya iaitu Serba Salah dan Kali Kedua, aksinya yang sarat tenaga serta lontaran suara penuh syahdu sepanjang menghiburkan jemputan.
Selain Raisa, penghibur lain yang menghangatkan acara meraikan delegasi sidang kemuncak itu adalah kumpulan vokal harmoni popular dari Amerika Syarikat, All-4-One.
Raisa juga tidak ketinggalan tampil berduet dengan grup terbabit dengan menyampaikan lagu I Turn To You, sekali gus meraih tepukan gemuruh hadirin.
Terdahulu, pada malam sebelumnya Raisa diundang beraksi di konsert Babyface Live in Jakarta, malah diberi penghormatan berduet dengan penyanyi dan komposer legenda terbabit.
Biarpun sehari sebelumnya mendedahkan rumah tangga yang dibina selama lapan tahun dengan suaminya, Hamish Daud juga pelakon bakal berakhir, komitmen terhadap tugas dijayakan dengan profesional.
Dia juga meminta agar ruang peribadi keluarga dihormati ramai demi kesejahteraan anak tunggal mereka, Zalina Raine Wyllie yang kini berusia enam tahun. – HIBGLAM
