Filem thriller Indonesia, Dendam Malam Kelam arahan sutradara Danial Rifki muncul sebagai naskhah berani yang menggabungkan misteri, psikologi dan elemen jenayah dalam satu ikatan seram mendebarkan.
Bukan sekadar kisah hantu atau pembunuhan, filem ini membawa penonton menyelami sisi gelap manusia yang dikuasai nafsu, kesalahan dan penyesalan.
Kisahnya berpusat pada Jefri (lakonan Arya Saloka), seorang lelaki berkarisma, namun sarat dengan rahsia hitam. Di sebalik kehidupannya yang kelihatan sempurna, tersembunyi hubungan sulit dengan Sarah (Davina Karamoy), seorang wanita muda yang menggodanya untuk menyingkirkan isteri sahnya, Sofia (Marissa Anita).
Dalam perancangan yang penuh licik, mereka membunuh Sofia – tetapi keesokan harinya, mayat wanita itu hilang dari ruang mayat tanpa jejak.
Apa yang bermula sebagai pembunuhan sempurna bertukar menjadi mimpi ngeri apabila Jefri mula dihantui halusinasi dan bayangan Sofia yang seolah-olah masih hidup.

WATAK Jefri lakonan Arya Saloka membuatkan ramai penonton tidak senang duduk.
Di sinilah masuk watak penyiasat berpengalaman, Arya Pradana (lakonan Bront Palarae), yang mula merungkai misteri kehilangan mayat itu dan menemui sesuatu yang jauh lebih ‘mendalam’ ketimbang sekadar pembunuhan.
Pengarahan
Sebagai pengarah, Danial Rifki memperlihatkan kematangan sinematik yang mengagumkan.
Setiap babak dipenuhi simbolisme – cermin, kabus, dan cahaya malap menjadi metafora bagi rasa bersalah yang menghantui jiwa manusia. Penggunaan warna ‘sejuk’ dan bingkai kamera yang rapat menimbulkan suasana claustrophobic, seolah-olah penonton turut terperangkap dalam dosa watak utamanya.
Walaupun filem ini merupakan adaptasi daripada filem Sepanyol El Cuerpo (2012), Danial tidak sekadar menyalin jalan cerita. Dia menyuntik jiwa tempatan menjadikan konteks moral, budaya dan emosi terasa lebih dekat dengan penonton Nusantara.
Lakonan Arya Saloka wajar diberi pujian. Wataknya penuh lapisan – dari keyakinan palsu, kegelisahan, hingga keinsafan yang datang terlambat. Marissa Anita pula memberikan dimensi tersendiri kepada Sofia, bukan sekadar mangsa, tetapi juga simbol balasan dan kebenaran yang tidak boleh ditimbus.
Sementara itu, Davina Karamoy dan Bront Palarae melengkapkan naskhah dengan kehadiran kuat masing-masing, terutama dalam babak konfrontasi akhir yang mendebarkan.
Sinematografi oleh Ardhi Wibowo menonjolkan percikan luar biasa.

Bront (kanan) dan pelakon Indonesia Arya Saloka melunaskan karakter masing-masing dengan cemerlang dalam Dendam Malam Kelam.
Kendatipun, naskhah ini tidak sempurna 100 peratus. Beberapa bahagian pertengahan filem terasa sedikit perlahan, dan dialog dalam beberapa babak emosional kedengaran melodramatik. Namun kelemahan itu tidak menenggelamkan kekuatan keseluruhan penceritaan yang sarat dengan rasa bersalah dan pembalasan.
Kekuatan terbesar Dendam Malam Kelam ialah keberaniannya menyoal moral manusia bahawa kejahatan bukan hanya datang dari makhluk ghaib, tetapi dari hati manusia sendiri. Dalam dunia yang diselubungi kebohongan, dendam menjadi bayang-bayang yang mengekori setiap langkah.
Secara keseluruhan, filem ini merupakan antara produk terbaik Indonesia tahun ini – produksi kemas, lakonan mantap dan jalan cerita yang membuat penonton terpaku hingga ke babak terakhir. – HIBGLAM
