‘Dah bertahun tak pergi kelab malam, itu pusat karaoke ekslusif’

DIDAKWA ligat berhibur di kelab malam bersama rakan wanita, pelakon Beego memaklumkan sudah bertahun tidak menjejakkan kaki ke kelab malam, sebaliknya video tersebut dirakam ketika menghadiri majlis hari jadi di sebuah pusat karaoke eksklusif.

Dalam masa sama, Beego atau Aszerul Nizam Abdullah, 45, mencabar pihak yang menyebarkan tuduhan itu untuk mengemukakan bukti jika mereka memiliki rakaman yang menunjukkan dia berada di kelab malam.

“Saya memang tak pergi kelab malam, dah bertahun. Kalau nak tahu itu adalah video menghadiri majlis hari jadi di pusat karaoke eksklusif.

Saya bukan budak-budak nak pergi kelab malam, saya pergi pusat karaoke pun yang ‘high end’.

“Bagi saya tak salah pun nak ke majlis hari jadi. Cuma saya minta kalau ada video saya dekat kelab, tunjukkan bukti,” katanya kepada HibGlam ketika hadir ke Mahkamah Syariah Wilayah Persekutan bagi penetapan tarikh pengesahan lafaz taklik, semalam.

Selain itu, Beego yakin bahawa isterinya yang juga pelakon Linda Hashim tidak terlibat dalam penyebaran video tersebut.

“Saya tak nafikan pernah ke kelab malam, untuk apa saya nafikan? Tapi takkan dari sekeping gambar orang dah boleh menghukum?

Saya yakin itu bukan kerja Linda (sebar) tapi mereka yang menjadi mata-matanya. Saya tak peduli pun.

“Allah jadikan syaitan tapi kita tak nampak dengan mata kasar, tapi ada juga syaitan nyata iaitu orang macam inilah yang suka rosakkan rumah tanggan orang,” katanya lagi.

Mengulas dakwaan berpura-pura baik dengan menyertai tabligh susulan video yang tular itu, Beego mengakui tidak pernah berniat untuk mengaburi mata masyarakat.

Saya pergi sana untuk cari diri sendiri dan nak tebus dosa. Saya juga nak tebus masa dengan Allah Taala.

“Saya tak minta pun gambar disebarkan tapi bila ada yang sebarkan gambar menyertai tabligh itu adalah di luar bidang kuasa saya,” jelasnya.

Sebelum ini, tular kisah seorang aktor dikatakan ligat berhibur di kelab malam bersama rakan wanita selain memberi bayangan pelakon itu berdepan masalah rumah tangga. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok