PELAKON dan pempengaruh dari Vietnam, Cindy muncul sebagai Pempengaruh Terbaik pada malam kemuncak All Star Influencers Award (ASIA) 2025, semalam.
Kemenangan tersebut melayakkan pemilik nama sebenar Huỳnh Thị Diễm Mi, 24, membawa pulang wang tunai USD 15,000 (RM63,360) berserta tiket penerbangan ke Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE).
Selain trofi utama, Cindy turut menggondol anugerah Pencerita Terbaik pada acara sama.
“Saya tidak menjangka kemenangan ini, terima kasih kepada semua pihak yang sudah memilih saya.
“Wang kemenangan ini saya akan gunakan untuk kegunaan keluarga,” katanya kepada HibGlam semasa sidang media selepas pengumuman pemenang ASIA 2025 di Sunway Resort Hotel di sini, semalam.
Tempat kedua dimenangi pempengaruh Indonesia, Sheran Nat yang menerima wang tunai USD 15,000 (RM21,120) dan tiket penerbangan ke UAE.
Turut menyaksikan, pempengaruh Kemboja iaitu Rainne Dara menduduki tempat ketiga dan membawa pulang wang tunai USD 3,000 (RM12,672) serta tiket penerbangan sama.
Dalam kategori lain, Pep Kemika dari Thailand dinobat sebagai penerima Anugerah Kulinari Terbaik menerusi video eksplorasi makanan di Johor dan Pahang, manakala Herony dari Filipina memenangi Anugerah Suntingan Terbaik hasil penghasilan video dengan teknik peralihan ‘transition’ yang kreatif dan berkualiti tinggi.
Edisi kali ini menyaksikan lebih 100 penyertaan daripada pempengaruh dan pencipta kandungan mewakili 19 negara, antaranya Vietnam, Indonesia, Thailand, Taiwan dan Filipina.
Program berskala besar tersebut turut menerima sokongan dan tajaan daripada pelbagai pihak, antaranya Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) melalui Tourism Malaysia sebagai usaha memperkenalkan keindahan pelancongan Malaysia kepada dunia melalui platform digital.
Sepanjang beberapa bulan lalu, lebih 80 pempengaruh dari 20 negara termasuk Malaysia, Indonesia, Thailand, Filipina, Singapura, Vietnam, India, Pakistan, Emiriah Arab Bersatu, Arab Saudi, Mesir, Jordan, dan beberapa lagi telah menjelajah ke pelbagai destinasi pelancongan utama di Malaysia seperti Melaka, Sabah, Pulau Pinang, Kedah, Johor dan Sabah.
Melalui aktiviti penciptaan kandungan yang kreatif dan pelbagai cabaran digital, mereka berjaya membawa lebih 1.3 bilion capaian digital tontonan di pelbagai platform media sosial, mengatasi rekod tahun lalu sebanyak 518 juta tontonan. – HIBGLAM