MISI kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) bukan sekadar perjalanan membawa bantuan atau merobohkan sekatan Israel, bahkan kisah perjuangan dua jiwa kental Heliza dan adiknya, Hazwani Helmi yang tekad melaungkan suara demi Palestin.
Bukan pertama kali menyertai misi kemanusiaan, dua beradik itu sudah terbiasa menempuh cabaran demi membantu insan dalam kesusahan, khususnya penduduk Palestin yang dizalimi rejim Zionis.
Namun, kali ini pengembaraan mereka bersama GSF bukan sekadar misi, tetapi menyaksikan sendiri keajaiban dan ketentuan Ilahi.
Menyingkap perjalanan itu, Heliza, 39, berkata, mereka hampir tidak dapat menyertai misi tersebut berikutan kekangan jadual dan ketiadaan kapal.
“Mereka mula berlayar 1 September dan waktu sama kami pergi Mekah membawa jemaah. Ikut logik akal, kami memang tak boleh ikut sebab mereka sudah mulakan pelayaran dan menjalani latihan lebih awal.
Dalam pelayaran itu macam-macam Allah susun. Mereka sepatutnya tidak berhenti di Tunisia tetapi terpaksa berlabuh untuk baiki bot.
“Dipendekkan cerita, kami kena naik bot pemerhati bersama Tuan Nadir (Nadir Al-Nuri). Kami doa supaya Allah tukarkan bot pemerhati dapat jadi kapal flotilla tapi kuasa Allah yang tak logik itu jadi logik,” katanya membuka cerita kepada HibGlam.

MISI kemanusiaan GSF menyaksikan banyak keajaiban apabila hal yang dirasakan mustahil benar-benar berlaku sepertimana yang diharapkan Heliza dan Hazwani dengan izin Allah SWT.
Keajaiban demi keajaiban
Bukan satu kebetulan semata-mata, anak kelahiran Terengganu itu tidak putus melafazkan rasa syukur apabila akhirnya dapat menyertai misi GSF meski pada awalnya rasa mustahil.
Dua jam sebelum menaiki bot Tuan Nadir, Allah rezekikan kapal di Malta, namanya Johnny M. Tak lama kemudian, kapal itu rosak dan karam sehingga penganjur kata kena balik Malaysia.
“Akhirnya, penganjur cakap kalau nak berlayar ada kapal cuma kena berpecah. Berat juga keputusan itu tetapi Ika (Hazwani) buat solat istikharah.
Tak habis lagi baca al-Fatihah, dengan tiba-tiba pengasas kata ada kapal kecil yang boleh muat dua orang.
“Keajaiban demi keajaiban Allah bagi walhal ikut keadaan asal memang tak logik untuk kami sertai,” ujarnya lagi.
Dugaan belum berakhir apabila dua beradik itu hampir ditegah belayar kerana tidak mengikuti latihan rasmi seperti peserta lain tetapi takdir Allah sekali lagi berpihak kepada mereka.
“Bila kami sampai di Tunisia, mereka kata latihan dah habis dan siapa tidak menyertai latihan tidak boleh naik kapal. Saya dan Hazwani tunggu sampai esoknya untuk tahu keputusan.

HELIZA dan Hazwani berkongsi pahit getir yang mereka lalui ketika berada dalam tahanan Zionis dengan wartawan HibGlam.
Paginya Tuan Nadir telefon minta kami bersiap untuk pergi latihan. Ceritanya, kapten yang sepatutnya bawa kapal tarik diri dan diganti orang lain.
“Jadi, kapten baru kena pergi latihan yang menyebabkan kami pun terlibat. Sepatutnya empat hari tapi kami dapat habiskan latihan dalam tempoh dua jam sahaja.
Orang lain pula ada yang empat hari hingga seminggu. Semua keajaiban ini bila fikir dan muhasabah balik, Allah kan suka dengar doa-doa hamba-Nya,” ceritanya.
Air mata
Apa pun ujian yang datang, Heliza tetap mengingatkan diri keperitan yang dirasai rakyat Gaza sehingga pernah menangis mengenangkan kesusahan mereka semasa berada di bawah tahanan Israel.
“Kesusahan yang kami lalui ini terlalu kecil berbanding apa dilalui penduduk Palestin.
“Ada satu petang, semua kawan-kawan banduan dalam penjara tertidur sebab keletihan tak makan dan minum.
Waktu nak solat, saya rasa ada bersama Allah sahaja sebab semua orang tidur. Saya menangis, air mata mengalir laju sampai tak boleh nak cakap apa-apa.
“Ya Allah, kami sangat dekat dengan Gaza ataupun mungkin sudah masuk Gaza sebab tak tahu laluan. Kami tak dapat minum dan makan sampai rasa betul-betul akan mati, entah-entah orang Palestin apa pun tak ada untuk jamah. Itu yang rasa sedih sangat,” kongsinya lagi.
Sambung Heliza, rakan-rakan dalam sel turut mengalirkan air mata selepas mendengar rintihannya yang terkenang nasib penduduk Gaza.
“Ada seorang kawan perasan saya menangis dan bertanya keadaan saya. Selepas dengar cerita saya, dia dan rakan-rakan dari Eropah yang lain turut bersedih.
“Mereka juga sama seperti saya, bagai ada benda tersangkut di hati. Seorang demi seorang menangis.
Meski datang dari negara berbeza, lain bangsa dan agama, kami berkongsi matlamat yang sama iaitu mahu membebaskan Palestin daripada cengkaman Israel,” katanya.

TIDAK patah semangat, Heliza dan Hazwani berazam untuk kembali lagi ke Gaza dengan membawa lebih ramai sukarelawan berbilang bangsa dari Malaysia.
Sementara itu, pemilik nama lengkap Nur Hazwani Afiqah Helmi, 28, juga menangis mengenangkan harapan besar penduduk Gaza yang menantikan ketibaan mereka membawa bantuan makanan, barang keperluan harian dan ubat-ubatan.
“Ketika tiba di lapangan terbang ramai orang sambut kami. Ketika itu kami rasa gembira dan sangat terharu tetapi keesokan harinya saya menangis macam budak-budak. Sangat teruk sampai nak tarik nafas pun susah.
“Saya bersyukur selamat pulang pangkuan keluarga di Malaysia tapi jauh di sudut hati saya teringat saudara kita di Palestin yang mungkin masih tunggu kemunculan kapal Flotilla.
“Kita dah cuba sedaya upaya tapi Israel sekat, itu yang sedih. Pada masa sama saya rasa geram dan marah sangat dengan zionis.
Mereka makhluk paling kejam, sanggup lakukan apa sahaja demi memastikan bantuan tidak sampai ke tangan penduduk Gaza.
“Apa pun, perasaan sedih bertukar jadi membara. Insya-Allah selepas ini kita akan berusaha lebih kuat,” kongsinya.
Hazwani turut berkongsi pertemuannya dengan seorang wanita berbangsa Cina selepas beberapa hari kembali ke tanah air.
“Ada seorang perempuan Cina, dia menangis dan beritahu mengikuti perkembangan Palestin. Dia tidak tahu pun kami ke kawasannya dan dia pakai baju ‘Free Palestin’.
Alhamdulillah, kalau 10 tahun lepas orang Islam sahaja buat gerakan, namun kini bangsa Cina dan India pun lantang menyokong Palestin.
“Kami merancang bawa wakil berbilang bangsa dari Malaysia untuk sertai misi selepas ini, maknanya bukan orang Islam saja. Mudah-mudahan,” tutupnya. – HIBGLAM