“SEPERTI langau yang hinggap di sampah.”
Demikian perkongsian penyanyi, Zizi Kirana seolah-olah meluahkan isi hati berkaitan tindakan segelintir individu melabelkan sukarelawan Global Sumud Flotilla (GSF) ke Gaza sebagai gila publisiti.
Menguatkan lagi telahan luahan dibuat berkaitan kecaman terhadap misi memecahkan sekatan haram Israel ke Gaza adalah apabila dalam ruangan komen ramai netizen menitipkan nasihat agar Zizi atau nama sebenar Nur Fazelah Mad Tahil, 40, tidak mengendahkan kata-kata negatif.
“Keyboard warrior (wira papan kekunci) sahaja. Kena kejar nanti lari masuk balai. Tak sama level dengan geng GSF. Keyboard warrior sangat rendah tahapnya,” tulis pemilik akaun Threads lain.
“Abaikan negativiti. Anda memberi inspirasi kepada saya untuk menjadi muslimah yang baik,” kata seorang netizen.
Rakan seperjuangan yang sama-sama mengikuti pelayaran sarat cabaran membabitkan pelayaran hampir sebulan itu, Datin Seri Heliza Helmi turut memberikan respons.
Penuh maksud tersirat, penyanyi merangkap aktivis kemasyarakatan itu hanya meninggalkan ayat pendek, Bagau oh bagau seperti merujuk kepada tajuk lagu kanak-kanak dengan seni kata berkaitan tindakan suka mencari kesalahan orang lain.
Begitupun, menerusi semakan penyanyi lagu Pijak itu tidak memberikan sebarang maklum balas terhadap titipan kata-kata semangat daripada penyokongnya.
Terdahulu, Zizi baru kembali ke tanah air bersama 22 aktivis Malaysia lain selepas ditahan di penjara Israel selama beberapa hari sebelum dibebaskan dan di bawa ke Istanbul, Turkiye untuk mendapatkan rawatan di sana.
Kepulangan mereka ke tanah air disambut meriah namun ada dalam kalangan pempengaruh beranggapan misi yang turut disertai lebih 400 sukarelawan dari 45 negara itu sebagai gagal selain didakwa hanya drama. – HIBGLAM