Saloma karakter terbaik, tiada tandingan – Nabila Huda

PELAKON Nabila Huda mengakui watak Biduanita Negara Allahyarham Puan Sri Saloma yang digalas 12 tahun lalu menjadi karakter paling bermakna sepanjang bergelar anak seni.

Nabila, 42, berkata, sehingga kini belum ada peranan lain mampu menandingi impak serta memberikan pengalaman tersendiri seperti yang dirasainya ketika merealisasikan karakter isteri kepada Seniman Agung Allahyarham Tan Sri P Ramlee itu.

Saloma adalah karakter terbaik yang pernah saya lakonkan. Tiada watak lain akan dapat mengatasi watak ini,” katanya menerusi perkongsian di Threads.

Malah aktres versatil itu berkata, seiring kematangan dia berharap dapat melakonkan kembali watak berkenaan kerana berasakan dirinya kini mampu memahami jiwa Saloma dengan lebih mendalam.

Dengan segala pengalaman, kematangan dan perjalanan sebagai seorang pelakon, kadangkala saya berharap dapat bermula semula dan melakonkan watak ini sekali lagi.

“Bukan sebab dulu saya tidak memberikan yang terbaik, tetapi kalau sekarang saya rasa saya akan memahami karakter ini dengan lebih mendalam,” ujarnya.

Pelakon Wanita Terbaik di Festival Filem Malaysia (FFM 28) itu turut menyifatkan peluang membawakan watak Saloma dalam karya biografi sebagai penghormatan terbesar sepanjang kerjayanya sebagai anak seni.

“Diberikan kepercayaan untuk melakonkan Saloma dalam biografi hidupnya? Gila.

Suatu penghormatan luar biasa untuk berada dalam kasut seorang legenda. Memori yang akan saya bawa sampai bila-bila,” katanya.

Telefilem dua episod berkisar kisah hidup Saloma arahan Melissa Saila juga anak saudara seniwati itu disiarkan pada Ogos 2014.

Selain Nabila, naskhah tersebut turut dibintangi Tony Eusof, Sazzy Falak, Hasnul Rahmat, Julia Ziegler dan Sharifah Amani. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok