TANGGAL 2 Oktober merupakan detik pahit bagi sekumpulan sukarelawan yang menyertai misi kemanusiaan menerusi The Global Sumud Flotilla (GSF) untuk ke Gaza, Palestin sejak Ogos lalu.
Bukan untuk berperang, sebaliknya mereka hanya mahu menghantar bantuan asas seperti susu, makanan dan ubat-ubatan kepada rakyat Gaza yang teruk diseksa tentera Israel.
Selepas sebulan bergadai nyawa belayar di lautan, konvoi mereka dipintas kapal rejim Zionis termasuk kesemua 23 aktivis Malaysia yang turut dipindahkan ke darat bagi disoal siasat seterusnya ditahan.
Sebelum itu, kapal Mikeno dinaiki pelakon Ardell Aryana berhadapan detik cemas apabila didakwa sudah menghampiri pantai Gaza kerana berada paling hadapan dan berdekatan perairan wilayah terbabit. Selepas 20 jam gagal dihubungi, barulah status Ardell disahkan.
Selain Ardell, tiga orang lagi selebriti turut serta dalam misi kemanusiaan GSF iaitu Datin Seri Heliza Helmi, Hazwani Helmi dan Zizi Kirana. Masing-masing diculik tentera Israel di perairan antarabangsa sebelum dipindahkan ke Penjara Ketziot yang terkenal dengan penyeksaan terhadap tahanan Palestin.
Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim memainkan peranan dengan mendapat persetujuan daripada Presiden Türkiye, Recep Tayyip Erdogan untuk membebaskan 23 rakyat Malaysia.
Pelbagai cerita yang dikongsikan aktivis GSF membuka mata dunia mengenai kekejaman Zionis laknatullah yang dilakukan tanpa belas kasihan.
Difahamkan, kesemua aktivis wanita juga dipaksa menanggalkan hijab sepanjang berada dalam penjara, manakala aktivis lelaki dibogelkan kerana Israel khuatir mereka membawa senjata.

KEPULANGAN Heliza disambut suami tercinta, Mahadi dengan rasa syukur sehingga tidak mampu menyembunyikan easa sebak.
Ardell turut dipercayai ditumbuk dengan rambut ditarik kasar oleh tentera Israel semasa berada dalam tahanan. Suaminya, pelakon Nadzmi Adhwa memberitahu terdapat kecederaan pada bahu isterinya, selain berhadapan tekanan darah rendah sehingga perlu dirawat di sebuah hospital di Istanbul, Türkiye.
Selepas beberapa hari di Istanbul, mereka pulang ke pangkuan keluarga pada 7 Oktober lalu dan disambut meriah dengan kehadiran lebih 2,000 orang ramai di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Momen paling dinanti-nantikan, Nadzmi dilihat tidak dapat menahan sebak ketika menyambut kepulangan isteri tercinta.
Dia tampak teruja sebelum memeluk, mengucup pipi Ardell dan menghadiahkan sejambak bunga segar sambil ditemani dua anak mereka.
Pada masa sama, Ardell atau nama sebenar, Nurul Hidayah Mohd. Amin, 35, sempat menitipkan ucapan pendek dan rasa terharu dengan sambutan daripada rakyat Malaysia.

SUAMI Ardell iaitu Nadzmi Adhwa sabar menanti kepulangan isterinya dari misi Global Sumud Flotilla.
Sementara itu, pelakon Yusuf Bahrin juga memeluk isterinya yang juga penyanyi, Zizi Kirana selepas hampir dua bulan berjauhan.
Turut kelihatan adalah suami kepada penyanyi Heliza iaitu Datuk Seri Mahadi Badrul Zaman yang mengiringi isterinya di KLIA.
Selepas sesi sidang media, kesemua aktivis bersama keluarga masing-masing terus menaiki bas yang disediakan di luar lapangan terbang.
Begitupun, suasana bertukar kecoh apabila Ardell yang mendukung anaknya secara tiba-tiba rebah ketika menuju ke bas.
Wajahnya juga kelihatan pucat dan tak bermaya sebelum rebah dalam lautan manusia yang hadir memberikan sokongan kepada sukarelawan GSF.
Ramai petugas keselamatan yang segera membantu penyanyi terbabit sebelum Nadzmi meluru mendapatkan isterinya.
Kejadian tersebut dipercayai kerana keadaan Ardell yang masih lemah selepas dilayan kejam tentera Israel sepanjang menjadi tahanan.
Semoga wira dan wirawati negara kita mendapatkan rehat yang cukup tanpa perlu hadir ke acara-acara besar.
Diharapkan keadaan mental dan fizikal mereka juga baik-baik sahaja walaupun diseksa rejim Zionis.
Selain 23 aktivis Malaysia, jangan lupa berikan sokongan terhadap sembilan sukarelawan Freedom Flotilla Coalition (FFC) xThousand Madleens to Gaza (TMTG) yang turut dipintas Israel menggunakan helikopter pada 8 Oktober lalu.
Mereka terdiri daripada pakar perubatan, wartawan dan aktivis kemanusiaan yang belayar menaiki dua kapal iaitu Umm Saad (TMTG) dan Conscience (FFC). – HIBGLAM