Enggan mencetuskan salah faham, pelakon Nadzmi Adhwa memohon orang ramai tidak memuat naik foto yang boleh mengundang fitnah terhadap isterinya, Ardell Aryana.
Nadzmi atau nama sebenarnya, Nadzmi Adhwa Nor Adzmi, 33, berharap netizen dapat memberi ruang kepada suri hatinya itu yang difahamkan masih diberikan rawatan di sebuah hospital di Turkiye.
“Minta masa dan doa sahaja ya untuk isteri saya dan kesayangan kalian semua.
Tolong jangan keluarkan gambar yang bukan-bukan. Boleh tak kita tunggu Ardell balik? Tolong ye,” katanya dalam hantaran Threads.
Pada masa sama, Nadzmi turut menzahirkan penghargaan kepada rakyat Malaysia yang perhatian selain sentiasa mendoakan kesejahteraan suri hidupnya.
“Kalian sangat baik mendoakan dan ambil berat. Terima kasih untuk itu. Minta masa tahu,” ujarnya.
Terdahulu, aktor terbabit memaklumkan Ardell mengalami kecederaan pada tisu bahu akibat dikasari tentera Zionis yang didakwa menumbuk muka, manakala rambutnya turut ditarik.
Terdahulu, Ardell bersama 22 lagi sukarelawan Malaysia juga peserta misi Global Sumud Flotilla (GSF) dilaporkan selamat tiba di Istanbul, pukul 9 malam waktu Malaysia, selepas dibebaskan daripada tahanan Angkatan Tentera Israel (IDF).
Difahamkan, semua peserta misi keamanan dari Malaysia itu dijangkakan tiba di tanah air esok. –HIBGLAM