Kritikan sosial Adoiii Jiwaku! buat ahli politik

MENONJOLKAN keunikan kepelbagaian kaum di Malaysia, filem Adoiii Jiwaku! sebenarnya terzahir daripada perasaan terkilan penulis skrip merangkap pengarah, Steve Yap terhadap sikap segelintir ahli politik tanah air yang menggunakan perpaduan sebagai modal berkempen memenangi kerusi pilihan raya.

Katanya, melihat senario yang tidak pernah berubah mencetuskan ilham untuk merealisasikan naskhah memaparkan hakikat sebenar di sebalik dakyah mendakwa rakyat negara ini hidup berpecah-belah.

Turut bertindak sebagai pelakon menerusi karya komedi berkenaan, paparan elemen sindiran terhadap tindakan berunsur provokasi tentang keharmonian negara diharap membuka mata ramai supaya tidak mudah digula-gulakan dengan perkara kurang tepat.

“Banyak mengenai persepsi masyarakat Malaysia terutamanya dalam kalangan orang politik. Kerana itulah saya gunakan idea-idea itu dalam filem ini.

“Siapa makan cili, dia terasa pedas. Saya terpanggil untuk menghasilkan karya mengenai sensitiviti keharmonian kaum di negara ini selepas sakit hati menyaksikan senario politik yang lazimnya memanipulasi isu tersebut menjelang pilihan raya.

“Sebagai rakyat negara ini, saya sudah menyaksikan banyak pilihan raya yang menyentuh isu kaum dan agama kerana apa yang diketengahkan boleh menimbulkan banyak salah faham.

“Saya nampak kita hidup dalam masyarakat majmuk sebenarnya tak ada masalah pun sama ada isu perkauman mahu pun agama. Masalah datang berpunca daripada segelintir ahli politik,” katanya pada malam gala Adoiii Jiwaku! baru-baru ini.

Selain Steve, filem yang akan menemui penonton di pawagam menjelang 7 September depan turut dibintangi Allahyarham Adibah Noor, Ali Arami, Anuar Abd. Hamid, Pablo Amirul, Amber Chia, E. Ramanamohan dan Daniel Sher.

7 babak dipotong

Bercakap tentang sensitiviti, sebanyak tujuh babak serta dialog filem berkenaan terpaksa melalui potongan Lembaga Penapis Filem (LPF), namun tidak menjejaskan jalan cerita.

“Kalau diikutkan, ada banyak lagi babak yang saya ingin masukkan, tetapi penerbit tak benarkan biarpun kisah ditulis untuk filem ini bersandarkan fakta selain persepsi masyarakat.

“Isu yang ditonjolkan juga sering digunakan sesetengah ahli politik iaitu memainkan isu perkauman dan disebabkan itu saya menyampaikannya dengan jalan cerita komedi supaya mudah diterima penonton,” katanya.

Mengulas tentang gelaran atau panggilan kasar yang digunakan, Steve sebenarnya sudah terlebih dahulu maklum tentang isu tersebut.

Baginya tiada isu berbangkit termasuk sentap atau tidak sensitif kerana itulah realiti walaupun pahit untuk ditelan.

“Saya sendiri tanya kepada Mohan mengenai penggunaan perkataan tersebut, malah saya masih ingat untuk babak emosi membabitkan watak Malesh lakonan Mohan, saya ambil satu ‘take’ saja kerana tak mahu mengganggu emosinya.

“Saya beritahu Mohan, luahkan emosi sepenuhnya untuk babak ini kerana ini sangat penting untuk mewakili masyarakat India.

“Bukan untuk kaum India sahaja diselitkan panggilan, Melayu dan Cina juga diketengahkan, termasuk tanggapan mengenai sikap pemalas, rasuah dan sebagainya.

“Itu semua bukan berniat mencipta provokasi, begitu juga bagi babak pegang anjing bagi menyelamatkan haiwan tersebut. Tengok dahulu baru anda faham tujuan semua babak penting ini,” luahnya .

Diterbitkan Lomo Pictures Sdn. Bhd. dengan kerjasama MM2, MCM Cometro, Ant3, Fortune Studios dan Shinjiru, Adoiii Jiwaku! berkisar tentang tiga sahabat berlainan bangsa yang tertukar badan akibat terkena renjatan elektrik.

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok