Badak: Luar biasa, antara filem tempatan terbaik 2025

JALAN cerita klise, itu yang bermain dalam benak fikiran penulis sebelum menonton filem Badak arahan M. Raihan Halim.

Namun, tanggapan tersebut meleset terus hilang dari radar fikiran selepas menonton naskhah yang skripnya juga hasil air tangan Raihan Halim.

Siapa sangka lakonan hebat Shaheizy Sam sebagai Badak dan Aida Amron sebagai Mirah mampu membuatkan pipi basah tanpa sedar.

Sedikit pencerahan, Mirah yang merupakan anak tunggal Badak sangat meminati muzik terutama genre hip-hop dan bercinta-cita untuk menjadi seorang penyanyi.

Namun, hasrat tersebut tidak dipersetujui Badak kerana berasakan muzik akan membina jurang antaranya dengan Mirah.

Minit pertama filem dibuka dengan babak awal memaparkan momen pergelutan hidup dua beranak tersebut mencari rezeki dengan menjalankan bisnes di gerai kecil menjual burger.

Sekali lagi, Sam membuktikan mengapa dia antara aktor tempatan paling berkomitmen tinggi dalam menterjemahkan sesuatu watak.

Pemilihan latar tempat di Kampung Bharu, Kuala Lumpur menguatkan lagi mesej yang hendak diketengahkan iaitu kehidupan keluarga B40 yang berjuang setiap hari meski lelah demi mencari sesuap nasi.

Kemunculan Wan Hanafi Su yang melakonkan watak sebagai bapa kepada Badak iaitu abah dan menyokong Mirah meneruskan cita-cita sebagai penyanyi meninggalkan dampak besar terhadap jalan cerita.

Hubungan Badak dengan anak perempuannya yang merenggang selepas Mirah aktif sebagai penyanyi hip-hop secara perlahan-lahan merentap emosi penonton.

Babak paling membuatkan penulis tersentak ialah momen kematian watak abah di gerai burger. Sekelip mata keakraban yang baru dibina Badak dengan bapanya hilang sekelip mata. 

 Pekak, hip-hop

Pastinya, paling membuatkan ramai teruja untuk menonton filem tersebut ialah karakter pekak dan bisu yang dijayakan Sam. 

Jika hendak dinilai, ini salah satu watak terbaik yang pernah dilakukan Sam sepanjang bergelar anak seni. 

Cara Raihan mengolah dunia Badak sebagai individu pekak boleh dikatakan bijak selain transisi bunyi bising kepada suasana sepi tanpa sebarang bunyi itu berjaya. Sehingga beberapa kali ayat ‘oh macam ini ke sunyi tak ada sebarang bunyi’ muncul dari mulut penulis.

Penonton rasa dekat dan masuk ke dalam dunia orang pekak tanpa perlu memaksa untuk merasai emosi mereka.

Bukan itu sahaja usahanya mengubah diri dengan menambah berat badan sehingga perut besar membuncit.  

Tidak semua aktor mahu melakukan perubahan secara fizikal tetapi usaha Sam luar biasa­­­ dengan perut buncitnya itu memberi impak luar biasa kepada watak jalan cerita.

Transformasi Sam untuk komitmen watak Badak layak diberikan trofi. – ihsan GSC

Sementara Aida yang pertama kali memegang watak utama dalam naskhah layar lebar perlu diberikan pujian besar.

Meski bukan seorang penyanyi, Aida berjaya melunaskan wataknya dengan cemerlang. 

Lagu-lagu hip-hop ciptaan Akeem, Jahat dalam Badak mempunyai kualiti tersendiri dan liriknya ‘kena’ dengan perjalanan hidup Mirah.

Menyelitkan elemen hip-hop dalam sebuah filem yang wataknya bisu dan pekak adalah tindakan bijak.

Raihan juga memberitahu individu pekak mampu memahami dan menjiwai lagu hip-hop dengan dentuman ‘beat’.

Keseluruhannya, Badak boleh disifatkan sebagai naskhah yang jujur, lengkap dengan permainan emosi diadun sempurna.

Filem yang ditayangkan bermula 2 Oktober lalu itu boleh diletakkan sebaris dalam naskhah terbaik tahun ini.

Aida Amron  sebagai  Mirah antara   kemenjadian dalam  Badak yang wajar diberikan pujian. 

 

Badak
Pengarah: Raihan Halim
Pelakon: Shaheizy Sam, Aida Amron, Wan Hanafi Su
Sumber: Act 2 Pictures
Tayangan: 2 Oktober 2025
Bintang: ★★★★☆





Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok