SETIAP pelakon pastinya mempunyai watak yang ingin dijayakan dalam filem atau drama lakonan mereka.
Selalunya pasti watak antagonis atau apa sahaja yang mencabar kemampuan menjadi impian segelintir pelakon, begitu jua disuarakan Siti Elizad.
Akui pemilik nama penuh Siti Elizad Mohd Sharifuddin, dia masih belum diberikan kesempatan untuk menggalas watak antagonis yang benar-benar kejam pada mata penonton.
“Setiap kali orang tanya jenis watak yang saya tidak pernah bawa, jawapannya adalah watak jahat.
Saya nak sangat dapat watak jahat sebab yakin boleh lakukannya dan mahu lebih versatil.
“Sayangnya, masih belum pernah ada rezeki lagi untuk dapat watak yang memang jahat betul,” katanya kepada HibGlam.
Meski perjalanan kerjaya seninya berjalan dengan baik, jauh di sudut hati aktres berusia 41 tahun itu masih mengejar karakter yang boleh menggugat kemampuannya sebagai pelakon.
Keinginan yang membuak-buak tersebut juga membuatkan dia berani menyuarakan hasrat tersebut kepada pihak produksi.
“Kerjaya lakonan setakat ini semuanya okey, alhamdulillah. Cuma ada lagi beberapa hal yang belum lengkap dalam hidup termasuk tiada tawaran watak jahat.
Kasihan saya, adakah perlu lakukan pembedahan muka untuk dapat watak tersebut?
“Sampai kadang-kadang di set penggambaran sudah pakai gincu merah untuk serlahkan perwatakan jahat tetapi tetap juga tiada peluang tersebut sedangkan sudah suarakan perkara tersebut kepada pihak produser,” katanya.
Tambah pelakon tinggi lampai itu, antara alasan yang diberikan pihak produksi adalah disebabkan air mukanya tidak seperti seorang wanita kejam.
“Saya pernah beritahu pihak produksi tetapi mereka kata tidak boleh sebab muka saya nampak baik.
“Tapi bila fikir semula, ada saja perempuan yang sebenarnya penampilannya nampak baik tetapi dalam hati jahat, ramai saja begitu.
“Jadi, saya nak sangat benda begitu. Bukan nak jadi sangat kejam tetapi watak antagonis menarik sebab ada graf dalam lakonan.
“Doakanlah saya dapat, manalah tahu termakbul, insya-Allah,” ujarnya.
Berkongsi karakter yang sering diberikan kepadanya, pelakon drama Bila Cinta Menjadi Dosa itu mendedahkan hanya watak air mata yang memonopoli kamus kerjaya seninya.
“Kebanyakan karakter yang saya dapat adalah skrip-skrip berat sedangkan saya mengharapkan watak yang tak pernah cuba.
“Bila sudah biasa dapat watak sama, cabarannya pula berbeza juga sebab perlu buat kelainan.
“Watak orang kampung mungkin tangisan dia lain dengan orang bandar.
“Saya kena ubah karakter supaya penonton tak anggap semua lakonan dalam drama sama sahaja,” akhirinya.
