TAHUN 2024 menjadi detik hitam yang sukar dilupakan penyanyi berbakat besar, Aisha Retno apabila konsert pertamanya yang dinanti-nantikan dibatalkan pihak penganjur pada saat akhir.
Kegagalan tersebut bagaimanapun tidak mematahkan semangatnya. Aisha atau nama sebenarnya Sharifah Aisha Retno Sayed Sipulijam itu segera bangkit dengan lebih kuat hingga berjaya menganjurkan showcase sulung bertajuk The A.I.S.H.A Experience pada 20 September lalu.
Showcase anjuran LOL Asia tersebut dihadiri hampir 1,000 peminat, sekali gus membuktikan kehebatan Aisha sebagai penyanyi muda yang mampu berdiri setanding dengan nama besar industri.

DENGAN gaya eksentrik bersulam elemen Melayu-Jawa, Aisha berjaya memukau peminat yang hadir menyaksikan The A.I.S.H.A Experience tempoh hari.
Acara tersebut turut disaksikan selebriti popular seperti Sophia Albarakbah, Nabila Razali dan Nuha Bahrin.
Aisha membuka persembahan dengan rangkaian lagu JEDA, Samudera dan Nails Done, memperlihatkan persiapan rapi yang dilakukannya.
Sepanjang malam, penyanyi dan penulis lagu itu turut mempersembahkan karya-karya miliknya termasuk O.R.B.I.T, I.L.S.M, Terbang, Mengikat Jiwa, W.H.U.T (Wanna Hold U Tight).
Dia juga turut membawakan beberapa naskhah terbaharunya yang berjudul Titik Temu, LENGKAPILAH KITA, Kota Ini Tak Sama Tanpamu, Dengari Aku, Semoga Saja dan Sutera.
Tidak sekadar mempamerkan vokal mantap, Aisha turut memukau dengan gerak tari lincah selain bijak berinteraksi bersama peminat.
Karakternya yang ceria dan bersahaja menjadikan persembahan lebih dekat di hati penonton.

TIDAK muncul solo, Aisha turut mengundang ramai artis popular untuk bersama-sama dengannya, termasuklah Aizat dan Liza Hanim.
Menariknya, Aisha turut menjemput beberapa artis kolaborasi seperti Aizat Amdan, Megat Fazly, Liza Hanim, Lucidrari dan Sya bagi menghangatkan pentas.
Persembahan diakhiri dengan lagu Tak Adil yang meninggalkan impak mendalam buat peminat.
Baru berusia 25 tahun, menerusi showcase sulung ini, Aisha terbukti miliki pakej lengkap sebagai penyanyi masa depan. Dia hadir dengan vokal dan persembahan bertenaga serta penuh tarikan tersendiri.
Biarpun masih di landasan awal perjalanan, anak kepada penyanyi Indonesia, Jean Retno Aryani itu jelas berada platform tepat untuk terus dikenali bukan sahaja sebagai artis berjiwa besar, tetapi juga bintang yang mampu melakar sejarah tersendiri dalam industri muzik tanah air. – HIBGLAM