A.Aida dimasukkan ke ICU

PENERBIT sensasi, Datuk A. Aida, 55, kini menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) di sebuah sebuah pusat perubatan di ibu negara.

Berita mengejutkan itu dikongsikan sahabat baiknya, Profesor Datuk. Dr. Mohd. Izhar Ariff menerusi satu hantaran dalam media sosial sebentar tadi.

“Saya dengan rendah hati memohon agar semua sahabat sekalian mendoakan kekanda dan sahabat saya, Datuk A. Aida.

“Beliau kini berada di Unit Rawatan Rapi (ICU) sebuah hospital di ibu negara. Doakan semoga beliau cepat sembuh dan dipermudahkan segala urusan,” coretnya.

Sehingga kini, belum dapat dipastikan punca  pemilik syarikat Aida Production Sdn. Bhd. itu ditahan di hospital berkenaan.

Menjengah ke ruangan komen, ramai rakan selebriti dan orang industri yang mendoakan agar A. Aida atau nama lengkapnya, Zaidah Awang segera sembuh.

“Allahuakbar, Syafakillah Datuk A. Aida,” ujar penyanyi dan pengacara, Haiza. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok