‘Dicipta penuh kasih sayang’ – Afifah Nasir bersalin anak sulung

KHABAR gembira menyelubungi rumah tangga Afifah Nasir apabila pelakon itu selamat melahirkan cahaya mata sulung lelaki di sebuah pusat perubatan, petang tadi.

Afifah atau nama sebenarnya Nur Afifah Nasir, 32, meluahkan rasa syukur atas kurniaan terindah yang hadir tepat setahun selepas dia mendirikan rumah tangga bersama suami tercinta, Syed Hariz.

“Dicipta dengan penuh kasih sayang, diberkati Allah. Alhamdulillah, anugerah terindah dalam hidup kami akhirnya hadir juga.

“Syed Armand Mateen telah selamat dilahirkan ke dunia ini,” katanya menerusi hantaran Instagram.

Perkongsian itu turut memaparkan detik penuh emosi apabila Hariz mencium dahi pelakon drama Dulu Dollah Daebak itu sementelah wajah anak sulung mereka ditutup dengan emoji hati berwarna biru.

Khabar gembira berkenaan mendapat perhatian ramai netizen yang menzahirkan doa serta ucapan tahniah.

“Alhamdulillah, tahniah Afifah dan suami. Selamat berpantang,” tulis seorang pengikutnya.

“Nama anak sangat indah, semoga membesar menjadi anak soleh,” ujar netizen lain.

“Moment ini terlalu manis. Sebagai seorang ibu, saya tersentuh tengok ini, rasa mahu beranak lagi,” komen seorang peminat.

Mei lalu, adik kepada pelakon Anzalna itu mendedahkan dirinya hamil selepas setahun mendirikan rumah tangga bersama Hariz.

Afifah menzahirkan rasa syukur kerana impian menimang cahaya mata lelaki akhirnya dimakbulkan Allah, sekali gus melengkapkan kehidupan baharu mereka sebagai suami isteri. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok