PENYANYI Ismail Izzani tidak terasa hati dengan segelintir pihak yang mempertikaikan kemenangannya pada Anugerah Industri Muzik ke 24 (AIM) baru-baru ini bagi kategori Kulit Album Terbaik.
Menurut Ismail atau nama lengkapnya Ismail Izzani Zainal Nazeri, 25, dia tidak mampu menghalang orang daripada berkata-kata.
“Saya ada baca komen yang mengatakan saya tidak layak menang kerana gambar kulit album saya biasa-biasa sahaja.
“Memang benar saya cuba terapkan konsep ‘less is more’ untuk kulit album itu.
“Bila ada yang mempertikaikan, saya cuma fikir setiap artis ada peminat mereka sendiri. Tak apa saya terima setiap pendapat,” katanya ketika ditemui pada majlis Royal Night Viu Malaysia, di sini, semalam.
Tambah pelantun lagu Sabar itu lagi, penjurian untuk kategori Kulit Album Terbaik pada zaman kini tidak sama seperti dahulu.
“Dulu kulit album dinilai secara keseluruhan termasuk di bahagian dalam. Tetapi kini kebanyakannya dihasilkan secara digital. Semuanya bergantung kepada kreativiti dan cara suntingan,” ujarnya.
Dalam pada itu Ismail tetap memanjatkan rasa syukur di atas kemenangan pertamanya di AIM meskipun hanya menerusi kategori Kulit Album Terbaik.
“Ketika acara berlangsung saya tak dapat hadir kerana ada persembahan di Desaru. Sejujurnya saya terkejut dengan kemenangan ini.
“Sewaktu tercalon pun saya sudah terkejut kerana calon-calon lain bukan calang-calang. Ada Aina Abdul, Ernie Zakri dan sebagainya. Jadi saya tak letakkan harapan tinggi untuk menang.
“Bila habis persembahan tiba-tiba saya dapat banyak mesej ucap tahniah atas kemenangan di AIM. Sangat tidak sangka,” jelasnya.
Terdahulu kemenangan Ismail Izzani di AIM 24 yang berlangsung di Arena Of Stars Genting Highlands hujung minggu lalu dipertikai segelintir pihak kerana sebilangan peminat brasakan ada calon yang lebih layak untuk membawa pulang trofi itu. Antara nama yang disebut-sebut untuk memenangi kategori tersebut ialah Aina Abdul. – HIBGLAM