MAHKAMAH Sesyen di sini, hari ini menetapkan tarikh perbicaraan kes dakwaan amang seksual penyanyi Naim Daniel terhadap seorang remaja bawah umur akan berlangsung selama tiga hari pada 15,16 dan 18 Disember depan.
Peguam yang mewakili Naim, Amirul Ridzuan Hanif, Mohd. Irwan Sumadi dan Nur Syafiah Athirah Ahmad Shafique berkata, pihaknya juga akan memfailkan bantahan perbicaraan secara pautan video yang dimohon oleh pihak plaintif.
“Hari ini, pihak pendakwaan telah membuat beberapa permohonan dan salah satunya memohon supaya mangsa dibicarakan secara pautan video.
“Namun, pihak pembelaan kami pula membuat permohonan secara rasmi untuk berhujah untuk membantah permohonan daripada pihak pendakwaan.
“Bantahan tersebut kami failkan adalah disebabkan mangsa bukan lagi berumur bawah 18 tahun. Jadi, mangsa perlu dibicarakan secara normal,” katanya kepada HibGlam di sini, hari ini.
Tambahnya, hasil bantahan tersebut adalah bergantung kepada keputusan pihak hakim pada 17 Oktober depan.
“Hakim boleh benarkan bantahan atau boleh tolak.
“Paling utama ketika ini, kami akan mula membuat persiapan perbicaraan kes Naim,” ujarnya.
Pengurusan kes hari ini berlangsung di hadapan Hakim Datin M. Kunasundary dalam prosiding yang dilakukan secara tertutup.
Terdahulu, Naim Daniel atau nama sebenarnya Muhammad Na’im Daniel Baharin, 28, pada 17 Jun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan hakim dalam prosiding yang dilakukan secara tertutup.
Mengikut pertuduhan, penyanyi yang terkenal dengan lagu Purnama itu didakwa melakukan amang seksual terhadap seorang remaja perempuan berusia 17 tahun di sebuah hotel bagi tujuan seksual.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah unit hotel di Petaling Jaya, Selangor pukul 8.56 malam pada 19 Mei lalu mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.
Hukuman bagi seksyen itu memperuntukkan penjara tidak lebih 20 tahun dan boleh juga dihukum dengan hukuman sebat jika sabit kesalahan.
Semasa prosiding pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nurul Izzah Shaharuddin manakala Naim Daniel diwakili peguam Mohd. Irwan Sumadi dan Amirul Ridzuan Hanif.
Mahkamah kemudian membenarkan Naim Daniel diikat jamin RM12,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah dan tidak mengganggu saksi-saksi pendakwaan.
Sebelum ini, selebriti itu ditahan pada 3 Jun lalu selepas disyaki melakukan amang seksual terhadap seorang pelajar perempuan berusia 17 tahun di sebuah hotel di Selangor. Suspek bagaimanapun dibebaskan dengan jaminan polis selepas diambil keterangannya. – HIBGLAM